Header Ads

BN kalah jika Ahmad Said kekal MB - Idris Jusoh

Ketika yakin Terengganu akan kekal di bawah BN namun bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh bimbang BN akan kalah jika Datuk Seri Ahmad Said terus kekal sebagai Menteri Besar.

Perkara ini dinyatakan beliau kepada teman-teman rapat beliau dalam Umno.

“Kita masih dahului PAS tetapi kalau hok j**g**g tu masih jadi MB, kita kalah,” kata Idris (gambar kanan) kepada teman-temannya dalam Umno.

Kenyataan ini diceritakan semula rakan-rakan Idris kepada pemimpin PAS, Datuk Mustafa Ali.

Mustafa menceritakan hal ini dalam majlis makan malam PAS Dun Ladang baru-baru ini.

Kenyataan Idris membayangkan beliau masih menjadi faktor penting dalam politik Umno Terengganu.

Namun begitu, sikap beliau telah menyebabkannya terketepi dari arus utama politik Terengganu kerana tidak disenangi oleh pihak istana.

Walaupun dibawa ke pusat, ia juga tidak menyelesaikan masalah Idris. Beliau sekadar dilantik menjadi Pengerusi MARA sahaja.

Ahmad Said (kiri) dilantik sebagai MB selepas pilihan raya umum 2008 lalu. Namun perpecahan dalam Umno Terengganu terus ketara.

Mereka berpecah kepada dua kumpulan. Satu dipimpin oleh Ahmad Said manakala satu lagi masih yakin dengan kepimpinan Idris.

Salah seorang penyokong Idris adalah Adun Alor Limbat, Alias Mohamad. Sejak sekian lama Alias tidak bergerak selaku Adun kerana pertentangannya dengan kumpulan Ahmad Said.

Kini, menurut sumber, Alias tidak tersenarai sebagai calon Umno dalam pilihan raya akan datang.

Beliau akan digantikan oleh Saiful Bahri Baharudin (kanan), Ketua Pemuda Umno Terengganu.

Namun ramai yakin pemilihan Saiful akan memudahkan laluan PAS untuk merampas kembali Dun ini.

Ini kerana Saiful lebih berminat untuk mendapat keuntungan dari projek pembangunan dari politik.

Pemilihan beliau sebagai Ketua Pemuda pula dibuat oleh Khairy Jamaludin bukannya akar umbi Umno Terengganu.

Hasilnya, nama bekas Adun Umno di situ, Yusof Musa naik kembali. Alias sedar mengenai hal ini dan mula bergerak.

Namun beliau juga mula sedar, Idris Jusoh sudah tidak ada tempat dalam politik Terengganu.

“Orang-orang Idris kini mula mendekati Ahmad Said kerana sedar idris tidak akan naik semula di Terengganu,” kata satu sumber dalam tinjauan Harakahdaily.

Sebelum ini, Harakahdaily pernah melaporkan Umno akan memilih Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Chek sebagai MB Terengganu selepas pilihan raya umum akan datang.

Beliau dilaporkan dipilih bagi mengimbangi pertembungan politik antara Idris dan Ahmad Said. Namun hubungan istimewa beliau dengan PAS dan Tengku Razaleigh Hamzah menyebabkan sesetengah pihak dalam Umno sangat bimbang dengan pendekatan ini.

“Pendek kata, politik Umno Terengganu belum jauh dari stabil dan PAS mempunyai mempunyai peluang yang ceraha untuk merampas kembali Terengganu,” kata seorang pemimpin PAS.

Kenyataan beliau disokong oleh seorang bekas pemimpin PKR Terengganu.

“Bagi saya ciri-ciri untuk menang di Terengganu ada tetapi PAS dan Pakatan Rakyat perlukan 'bom' untuk menyedarkan rakyat tentang semua ini,” kata beliau.

Sumber: Harakahdaily.net
Dikuasakan oleh Blogger.