Header Ads

Carlos Tevez setuju ke AC Milan

AC Milan telah mengesahkan mereka telah bersetuju secara peribadi dengan Carlos Tevez, walaupun mereka masih belum membuat perjanjian dengan Manchester City.

Milan dilaporkan mahu menandatangani penyerang Argentina atas pinjaman sehingga Jun sebelum melengkapkan proses menandatangani kontrak tetap pemain itu.

Tevez dilaporkan telah bersetuju dengan tawaran kontrak selama tiga tahun setengah yang bernilai lima juta euro setahun, sekitar £ 4,3 juta (RM21 juta) atau £82,600 (RM404, 924) seminggu, jauh lebih rendah berbanding dengan gaji di City yang dilaporkan £200,000 (RM980,445) seminggu.

Ketua Eksekutif Milan, Adriano Galliani berkata, beliau telah mencapai persetujuan dengan Kia Joorachbian dan ejen Tevez itu kini terbang ke London untuk menyelesaikan perjanjian dengan City.

“Saya yakin Tevez dapat memberi pulangan lumayan,” kata Galliani.

“Saya bercakap dengan Carlos dan beliau berkata beliau mahu menyertai AC Milan. Silvio Berlusconi membenarkan saya untuk menandatangani pemain ini dan kami melakukan perjanjian dengan ejennya.

“Saya telah menghantar emel ke Manchester City dengan cadangan kami,” jelas Galliani.

Galliani turut berkata beliau mahu perpindahan itu dilakukan secepat mungkin pada perpindahan Januari bagi mengisi kekosongan pemain Antonio Cassano untuk beberapa bulan kerana melakukan pembedahan jantung.

Bos City, Roberto Mancini berkata pada Selasa, beliau merasakan Tevez mesti meninggalkan City dalam perpindahan Januari.

“Bagi kami, ia adalah penting untuk menjual Carlos, kita boleh lakukannya untuk dia dan kelab.

“Jika dia mempunyai peluang untuk ke Itali, saya gembira untuknya,” kata Mancini. -Reuters
Dikuasakan oleh Blogger.