Header Ads

Firus Akhtar juara Ustazah Pilihan musim pertama

WarkahDaily - Firus Akhtar Mohamad Bohari, 27, muncul sebagai juara program Ustazah Pilihan musim pertama dari Astro Oasis yang berakhir pada malam Khamis lalu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Graduan Sarjana Pengajian Islam dan Asia Barat dari Universiti St Louis, Washington yang berasal daripada Kuala Lumpur itu mengalahkan pesaing terdekatnya, Nurul Hidayah Kamarudin, 26 yang menduduki tempat kedua.

Dengan kemenangan itu, Firus (gambar) berjaya membawa pulang sebuah kereta Peugeot 207, mendapat tajaan biasiswa di Universiti Al-Madinah oleh Yayasan Aminah, pakej haji dan umrah tajaan Al-Riyadh and Travel.

Firus yang juga memiliki Ijazah Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Parsi dari Universiti Al-Zahra, Iran itu turut berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM20,000 sumbangan Astro, RM5,000 sumbangan Bank Islam dan beberapa hadiah sampingan yang lain.

“Sejujurnya jika hendak dibandingkan dengan peserta lain mereka juga hebat-hebat belaka.

“Tambahan pula saya tidak mempunyai pendidikan khusus peringkat universiti dalam bidang pengajian agama. Namun rezeki berpihak kepada saya malam ini,” ujarnya.

Nurul Hidayah yang juga guru bahasa Arab dari Johor yang menduduki tempat kedua pula menerima wang tunai RM15,000 dan trofi, manakala tempat ketiga, Siti Fatimah Mohd Sharif, 27 dari Kuala Lumpur untuk dengan hadiah wang tunai RM10,00 bersama trofi.

Tempat keempat pula adalah Masfira Hilman, 28 juga dari Johor menerima wang tunai RM5,000 dan trofi.

Pada malam penentuan itu, semua peserta diberi tugasan untuk mendekati permasalahan dan implikasi pernikahan di sempadan.

Pemenang pada malam itu dinilai berdasarkan tugasan (40 markah), ujian bertulis (40 markah) dan hujah (20 markah).
Dikuasakan oleh Blogger.