Header Ads

Gara-gara enjin kereta tak hidup, jurukimpal dipenjara kerana mencuri

KUALA TERENGGANU: Seorang jurukimpal yang gagal melarikan seutas rantai leher emas bernilai RM5,700 dari sebuah kedai emas di Pekan Batu 6, di sini, 13 Disember lalu, kerana enjin keretanya gagal dihidupkan, terpaksa meringkuk sehari dalam penjara dan didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah atas tuduhan mencuri.


SEKADAR HIASAN
Ahmad Rosdi Mohamad, 35, dari Kampung Permatang Rambai, Pasir Puteh, Kelantan yang dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini semalam, turut berdepan dengan hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri seutas rantai leher emas bernilai RM5,700 di Kedai Emas Assalam, Bangunan SEDC, Pekan Batu 6, di sini, kira-kira jam 2 petang pada 13 Disember lalu.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Zainuddin Abd Ghani di hadapan Majistret Noradila Ab Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, pengadu, Badul Ghani Ayob, 27, yang ketika itu berada di sebuah kedai makan di Pekan Batu 6, di sini, menerima panggilan daripada pekerjanya kira-kira jam 2 petang pada 13 Disember lalu, memaklumkan tertuduh berada di kedai emasnya untuk membeli barang kemas bernilai RM5,000.

Pekerjanya yang tidak mengesyaki apa-apa mengeluarkan seutas rantai leher seberat 31.56 gram berharga RM5,700 dan menunjukkannya kepada Ahmad Rosli.

Tertuduh kemudian merampas rantai emas itu dan melarikan diri menaiki sebuah kereta Proton Saga hitam. Bagaimanapun kereta berkenaan gagal dihidupkan dan dia keluar dari kereta untuk melarikan diri.

Bagaimanapun, dia ditahan orang ramai dan diserahkan kepada polis dari Balai Polis Gong Badak.
Dikuasakan oleh Blogger.