Header Ads

Guna wang zakat: Jamil Khir masih membisu

Datuk Mat Zain Ibrahim mempertikai kenapa wujud kes dwi-standard berhubung penyalahgunaan wang zakat.


Datuk Mat Zain Ibrahim, bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur dalam surat terbukanya kepada Ketua

Polis Negara hari ini membangkitkan kes dwi-standard berhubung penyalahgunaan wang zakat.

Pertama, penyalahgunaan wang zakat sebanyak RM63,650 oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk membiayai kos guaman menghadapi kes permohonan qazaf Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kedua, kes Redzuan Mohd Said, bekas Imam di Kulaijaya, Johor, yang didapati menyelewengkan RM19,510 kutipan zakat antara Ogos dan September tahun ini. Redzuan yang kemudiannya memulangkan wang tersebut telah dihukum empat tahun penjara dan tiga sebatan atas kesalahannya.

Laporan Ketua Audit Negara November lalu mengesahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin

Hussain menggunakan RM63,650 daripada wang zakat untuk membiayai kos guaman menghadapi kes permohonan qazaf Anwar.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan media hari ini, isu ini juga telah dibangkitkan oleh Ahli

Parlimen Machang, Saifuddin Nasution di Parlimen dan dibawa ke Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Katanya, Ketua Audit memaklumkan bahawa pada 11 Januari 2010 MAIWP menerima bil berjumlah RM63,000 daripada peguam Tetuan Zainul Rijal Talha dan Amir kerana mewakili ketiga-tiga mereka di atas bagi kes permohonan qazaf Anwar.

“Che Mat telah meluluskan bayaran RM31,500 daripada peruntukan am pada 28 Januari 2010. Namun memandangkan geran kerajaan masih lagi belum diterima, bayaran dibuat menggunakan peruntukan zakat pada 9 Februari 2010,” kata Nik Nazmi.

Katanya lagi, MAIWP membuat pembayaran baki kos guaman RM32,150 pada 29 April 2010 menggunakan peruntukan zakat. MAIWP telah menerima geran kerajaan pada 22 Jun 2010 sebanyak RM700,000.

Namun MAIWP hanya membuat pembayaran semula daripada peruntukan am kepada wang zakat pada Disember 2010, katanya.

“Persoalannya, adakah begitu mudah untuk MAIWP menggunakan wang zakat yang dibayar umat Islam bagi asnaf-asnaf yang khusus untuk perbelanjaan lain?

“Adakah wujud perbezaan antara seorang amil zakat biasa yang melakukan kesalahan dengan seorang Menteri dan Ketua Pengarah Jawi?,” soal Nik Nazmi yang juga ahli dewan undangan negeri Seri Setia.

Tegas beliau, Jamil Khir tidak sepatutnya diam membisu dan segera menjawab persoalan ini yang pastinya menimbulkan kegusaran di kalangan umat Islam di negara ini.

Sumber: Freemalaysiatoday.com
Dikuasakan oleh Blogger.