Header Ads

Kalau rakyat wajib bayar cukai, kerajaan wajib salur bantuan tanpa kira fahaman politik

WarkahDaily - Buat pemimpin Umno-BN yang begitu sombong dan bongkak, konon hanya mereka sahaja yang mampu memerintah negara ini, mereka sahaja yang boleh bantu rakyat, padahal, siapa sahaja yang diamanahkan jadi kerajaan, wajib mereka bantu rakyat sendiri.

Namun sebaliknya bagi pemimpin Umno-BN yang berotak sempit, semua bantuan dan pembangunan yang dilakukan di negara ini adalah mereka punya. Seolah-olah segala bantuan yang diagihkan adalah dari kantung Umno-BN sehingga ada yang sepatutnya dapat bantuan tapi dinafikan oleh kerajaan kerana menyokong parti selain Umno-BN.

Woi pemimpin Umno-BN, kamu kena reti sikit, kalau semua rakyat wajib bayar pelbagai cukai, jadi kerajaan pula wajib salur bantuan tanpa kira fahaman politik.

Sebagaimana semua rakyat di negara ini wajib membayar cukai kepada kerajaan tanpa mengira fahaman politik, begitu juga bantuan harus disalurkan tanpa mengira fahaman politik.


Dipetik dari Free Malaysia Today

Manfaat dari pemberian RM100 bagi setiap anak-anak yang bersekolah dalam Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini telah pun diterima oleh ibu bapa yang mempunyai anak yang bersekolah bagi sesi 2012.

Selepas ini, tentunya ramai yang tertunggu-tunggu pula tarikh 16 Januari ini untuk mengetahui samada layak atau tidak untuk menerima

Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 untuk setiap keluarga seperti mana yang disebut dalam bajet yang sama.

Sekonyong-konyong, timbul suara-suara yang menyindir kelompok masyarakat yang dianggap sebagai penyokong pembangkang apabila mereka turut berada dalam barisan untuk mengambil peruntukan RM100 untuk anak bersekolah dan mengambil borang BR1M itu.

Sindiran-sindiran di beberapa laman sosial itu hanya membuatkan saya terfikir, alangkah dangkalnya pemikiran mereka berhujah, dengan menjadikan alasan tidak mengundi Barisan Nasional (BN) sahaja sudah cukup untuk tidak melayakkan seseorang menerima bantuan tersebut.

Sebelum ini pun telah kerap kali kita mendengar cerita permohonan tanah, pinjaman Tekun dan sebagainya dibakul sampahkan disebabkan bukan ahli parti dalam komponen BN.

Tidakkah mereka ini terfikir bahawa wang pemberian itu datangnya dari dana yang dikumpulkan dari cukai-cukai termasuk cukai pintu, cukai tanah, cukai eksais, cukai pendapatan dan sebagainya yang datangnya dari semua rakyat negara ini tanpa mengira fahaman politik.

Bayar gaji menteri

Dari cukai yang dikumpulkan itu jugalah digunakan untuk disalurkan semula kepada rakyat dalam pelbagai bentuk dan juga membiayai pentadbiran negara termasuk membayar gaji menteri-menteri berperut boroi.

Seperti mana rakyat negara ini diberikan tanggungjawab untuk membayar cukai kepada kerajaan tanpa mengira fahaman politik, begitu juga sebaliknya dengan peruntukan yang disalurkan kepada rakyat harus diberi tanpa mengira fahaman politik.

Sekiranya hak mereka dinafikan atas sebab mereka tidak menyokong BN, maka mereka juga berhak untuk menuntut agar mereka diberikan pengecualian cukai, sesuatu yang tidak mungkin berlaku.

Lainlah sekiranya para pengundi parti-parti pembangkang negara ini dikecualikan membayar cukai sekaligus menjadikan mereka tidak layak sama sekali menerima apa-apa peruntukan dari kerajaan termasuklah seperti mana yang disebut dalam Bajet 2012 lalu.

Tentulah langkah mengecualikan cukai kepada pengundi yang mengundi parti pembangkang dalam pilihan raya adalah sesuatu yang mustahil berlaku.

Tambah pula, menyuarakan pendirian masing-masing termasuk dalam pilihan raya merupakan hak setiap warganegara yang dijamin dalam perlembagaan negara.

Maka kesimpulan mudahnya, seperti mana para penyokong pembangkang diwajibkan membayar cukai yang sama seperti penyokong BN, maka hak mereka untuk menerima apa-apa peruntukan yang disediakan oleh kerajaan adalah sama taranya dan hak ini tidak berkurang sedikit pun berbanding penyokong BN. Tiada dakwa-dakwi.
Dikuasakan oleh Blogger.