Header Ads

Kelab dari Kemboja sertai Piala FA

Liga Malaysia kini menjadi tumpuan banyak pihak termasuk luar negara. Ia mungkin rentetan daripada skuad bola sepak negara begitu menyerlah di pentas antarabangsa sejak akhir-akhir ini. Selain berjaya merangkul Piala Suzuki AFF, skuad Harimau Malaya turut melakar emas dua kali berturut-turut dalam Sukan SEA.

Semalam, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan penyertaan kelab dari Kemboja, Preach Khan Reach FC dalam aksi Piala FA, menggantikan tempat yang ditinggalkan skuad Harimau Muda B.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin semalam berikutan Harimau Muda B akan menyertai kejohanan jemputan di Singapura pada 17-21 Februari dan Piala Sultan Hassanal Bolkiah di Brunei pada 25 Februari hingga 3 Mac.

“Kami membuat keputusan menggantikan tempat Harimau Muda B dengan pasukan Kemboja, Preach Khan Reach FC kerana pasukan Harimau Muda B akan menyertai dua kejohanan itu.

“Pasukan dari Kemboja ini memang sudah menyatakan minat lebih awal lagi dan mereka akan beraksi di sini bagi perlawanan di tempat sendiri dan gelanggang lawan,” katanya kepada pemberita semalam.

Kehadiran kelab Preach Khan Reach, juara Piala FA di Kemboja musim lalu bakal menyaksikan pasukan luar negara kedua beraksi di Liga Malaysia selepas Lions XII dari Singapura.

Mengikut jadual asal kempen Piala FA yang akan bermula pada 18 Februari depan, Preach Khan Reach akan berdepan Pulau Pinang pada aksi pertama mereka di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Dikuasakan oleh Blogger.