Header Ads

Kerana takut pengaruh Umno-BN hilang, Ahmad Said rela rakyat jadi bodoh

Polisi baru kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu mengurangkan penghantaran pelajar ke Mesir merupakan satu kesilapan besar dari sudut keilmuan.

Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali (gambar) menyifatkan tindakan itu sebagai kesilapan besar yang menunjukkan Umno BN negeri takut kepada ‘bayang-bayang’ sendiri.

Katanya, polisi baru kerajaan Umno BN itu menjadi suatu kerugian dari sudut keilmuan yang diperolehi di Universiti al-Azhar, Mesir.

Menurut Yahaya, pusat pengajian tersebut merupakan universiti tertua di dunia yang terkenal hebat dari sudut keilmuannya.

“Kita rasa satu kesilapan besar dari sudut ilmu jika kerajaan Terengganu membuat keputusan mengurangkan penghantaran pelajar kita ke Mesir.

“Kenapa takut dengan ‘bayang-bayang’ kononnya pelajar di Mesir terlibat dengan politik pembangkang dan tidak bersama kerajaan.

“Ini bukan salah sistem (Al-Azhar) jika pelajar terlibat dengan politik tetapi pendedahan dengan aktiviti berpersatuan dan ilmu membawa kepada kebenaran dalam perjuangan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang mengumumkan akan mengurangkan jumlah penghantaran pelajar dari negeri ini ke Mesir.

Ahmad dipetik sebagai berkata pelajar yang di hantar ke Mesir bukan untuk belajar tetapi terlibat dengan aktiviti lain termasuk berpolitik.

“Pada tahun (2011) ini, kerajaan (sudah) mula mengurangkan penghantaran pelajar ke Mesir kerana sebahagian pelajar ke sana bukan (untuk) belajar, sebaliknya terlibat dengan aktiviti tidak sepatutnya termasuk berpolitik,” jelasnya selepas Majlis Penganugerahan Pingat Emas dan Hadiah Kecemerlangan Pelajar Yayasan Terengganu kali ke-32, di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, Ahad lalu.

Menurut Yahaya, kerajaan perlu membuktikan berapa ramai pelajar yang tidak lulus kerana berpolitik serta persatuan yang ditubuhkan bermotif politik.

Katanya, kebiasaan pelajar yang aktif di luar negara lebih cemerlang dan berjaya daripada yang tidak terlibat dengan persatuan.

Beliau selaku Yang Dipertua PAS Marang menyarankan kerajaan negeri tidak menyekat bantuan serta kemudahan kepada para pelajar yang ingin belajar di Mesir.

Katanya, PAS sangat tidak bersetuju jika disebabkan kepentingan politik Umno BN masa depan pelajar menjadi taruhan.

Sumber: Harakahdaily.net
Dikuasakan oleh Blogger.