Header Ads

Khairy gagal batalkan saman RM100 juta Anwar

Mahkamah Tinggi semalam menolak permohonan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk membatalkan saman fitnah RM100 juta yang difailkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya.

Hakim Datuk Hue Siew Kheng membuat keputusan itu di dalam kamar di hadapan peguam yang mewakili Khairy, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah dan peguam Sulaiman Abdullah dan J. Leela yang mewakili ketua pembangkang itu.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Muhammad Shafee berkata hakim menolak permohonan Khairy atas alasan kes itu bukan suatu kes yang jelas dan nyata untuk dibatalkan.

Beliau berkata hakim juga memerintahkan anak guamnya (Khairy) membayar RM7,000 sebagai kos kepada Anwar.

Katanya dengan keputusan itu, saman itu akan menjalani perbicaraan penuh. Pada 21 Feb tahun ini, Khairy memfailkan permohonan itu menyatakan saman itu adalah remeh dan menyusahkan dan melanggar proses mahkamah.

Pada 7 Mac, 2008, Anwar, 64, memfailkan saman terhadap Khairy, mendakwa Khairy ketika menjadi Naib Ketua Pemuda Umno telah mengeluarkan perkataan memfitnah dan menyebabkan klip video bertajuk ''Anwar and kin no threat'' dimuat naik di laman-laman web termasuk Malaysiakini.com.

Anwar mendakwa klip video yang dimuat naik di Malaysiakini.com mengandungi perkataan memfitnah oleh Khairy ketika berceramah di Lembah Pantai di sini pada 20 Feb, 2008.

Beliau berkata perkataan memfitnah itu antara lain bermaksud dirinya terlibat dalam kegiatan yang bercanggah dengan ajaran Islam, tidak bermoral dan tidak layak untuk memegang jawatan politik dan jawatan lain.

Anwar memohon ganti rugi teruk dan teladan RM100 juta serta relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Khairy, dalam pernyataan pembelaannya difailkan pada 8 Okt tahun lepas berkata beliau bergantung kepada pembelaan justifikasi dan perlindungan bersyarat.

Katanya sebagai Naib Ketua Pemuda Umno, beliau mempunyai tanggungjawab undang-undang, moral dan sosial kepada orang awam dan masyarakat Melayu dan orang awam mempunyai hak yang setara dengan penerimaan maklumat mengenai perkara-perkara yang mempunyai impak ke atas kebajikan sosial, ekonomi dan politik.

Sumber: Bernama.com
Dikuasakan oleh Blogger.