Header Ads

Khir mangsa sembelihan 'drama politik' Umno

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, tindakan terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo hanya 'drama politik' Umno BN.

Katanya, dengan pelbagai isu rasuah yang terpalit kepada ramai pemimpin parti itu, maka Umno BN terpaksa 'menempisnya' dengan bertindak ke atas Khir, itu pun selepas Khir tidak mempunyai kuasa lagi.

Jelasnya lagi, tindakan 'memangsakan' Khir itu kononnya bagi memberi gambaran kepada Masyarakat bahawa kerajaan Umno BN secara keseluruhanya tidak berkompromi dengan rasuah.

"Selepas Umno tak mampu nak bersih najis rasuah yang (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) kata 'sudah busuk sampai ke usus', maka Khir jadi mangsa sembelihan untuk bersihkan semua kes rasuah dalam Umno," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam kelmarin yang memutuskan Khir bersalah atas tuduhan rasuah dan dihukum penjara setahun.

Bagi Mahfuz, apa yang cuba ditonjolkan oleh Umno BN dengan bertindak ke atas Khir itu hanya mengulangi skrip lama yang pernah dibuat ke atas bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik dalam isu PKFZ.

Bagaimanapun tindakan mendakwa Ling itu selepas beliau bersara dari kerajaan.

"Saya harap Khir sabar banyak-banyak sebab dia seorang sahaja yang kena untuk dijadikan mangsa korban partinya.

"Saya yakin kalau dia masih ada kuasa, dia tak akan diambil tindakan," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Sumber: Harakahdaily.net
Dikuasakan oleh Blogger.