Header Ads

Kim Jong-un kuasai politik dan tentera Korea Utara


Jong-Un diiringi pegawai-pegawai kanan tentera korea utara melawat Istana Peringatan Kumsusan bagi memberi penghormatan terakhir kepada mediang bapanya Kim Jong-Il. | foto AFP

PYONGYANG: Anak lelaki ketiga pemimpin Korea Utara, Kim Jong-il, Kim Jong-un dikenal pasti sebagai ketua badan utama pembuat keputusan dalam parti pemerintah, Parti Pekerja - jawatan yang memberinya kuasa berhubung politik dan ketenteraan di negara ini.

Akhbar utama Korea Utara, Rodong Sinmun hari ini melaporkan, askar negara ini diarah untuk mengucapkan slogan berpegang teguh untuk melindungi Jawatankuasa Pusat yang diketuai Kim Jong-un.

Seminggu selepas media rasmi melaporkan kematian Jong-il, kempen untuk melantik Jong-un sebagai penggantinya semakin mendapat pengaruh.

Media rasmi, kelmarin merujuk Jong-un sebagai ‘pemimpin agung’ Korea Utara yang mempunyai kekuatan tentera seramai 1.2 juta orang dan ketua-ketua tentera berikrar menyokongnya.

Jong-il yang dilaporkan meninggal dunia akibat sakit jantung, mentadbir Korea Utara dan mengetuai tiga badan utama, Parti Pekerja, Tentera Rakyat Korea dan Suruhanjaya Pertahanan Nasional.

Jong-un yang berumur lewat 20-an diumumkan sebagai pengganti Jong-il pada tahun lepas.

Beliau dinamakan sebagai Naib Pengerusi Suruhanjaya Tentera Pusat, Parti Pekerja dan dijangka memegang jawatan tentera dan politik baru ketika dilatih menjadi pengganti ayahnya.

Rujukan jawatan baru Jong-un hari ini dalam akhbar suara Parti Pekerja itu berlaku ketika dua delegasi peribadi Korea Selatan tiba di Pyongyang untuk memberi penghormatan terakhir kepada Jong-il.

Slogan itu yang sebelum ini digunakan untuk mengumpul sokongan terhadap Jong-il, jelas menunjukkan anak lelakinya itu akan mengambil alih kepimpinan Parti Pekerja. –Agensi
Dikuasakan oleh Blogger.