Header Ads

KLIA bakal terima kehadiran pesawat terbesar dunia

LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bakal menerima kehadiran pesawat penumpang terbesar dunia, Airbus A380 secara rasmi bulan depan.

Ia susulan langkah Emirates Airlines untuk menggunakan pesawat yang berharga AS$375.3 juta (RM1.176 bilion) itu bagi laluan KL-Dubai.

Timbalan Presiden Kanan Operasi Komersial Timur Jauh dan Australasia Emirates, Richard Jewsbury, berkata Malaysia adalah negara terbaru yang menerima kehadiran pesawat terbaru syarikat penerbangan berkenaan.

Ia akan menggantikan satu daripada tiga Boeing 777 yang digunakan sebelum ini dengan jadual penerbangan sekali sehari ke Dubai, katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Penggunaan pesawat baru itu katanya, membolehkan bilangan kapasiti penumpang bertambah sehingga 100 orang kerana muatan yang boleh dibawa adalah sehingga 490 penumpang berbanding Boeing 777, sekitar 390.

Katanya, kehadiran Airbus itu sememangnya dinanti-nantikan penumpang dan menjangkakan ia akan menerima sambutan menggalakkan sebaik saja memulakan operasinya kelak.

Sementara itu, Pengarah Malaysia Emirates, Kavin Martinus, berkata pihaknya akan menawarkan tiga kelas tempat duduk iaitu Suite Kelas Pertama, Kelas Bisnes dan Kelas Ekonomi.
Bagi Suite Kelas Pertama dan Kelas Bisnes, masing-masing ditawarkan sebanyak 14 dan 76 tempat dan terletak di tingkat atas pesawat.

Kelas Ekonomi pula terletak di tingkat bawah dengan menawarkan 389 tempat duduk.

Kami menjangkakan kehadiran pesawat ini mampu meningkatkan jualan tiket dan faktor muatan penumpang kami tahun depan yang ketika ini sekitar 75 peratus, katanya.

Sumber: BHarian.com.my
Dikuasakan oleh Blogger.