Header Ads

KLIA2: Kos asal RM2 bilion, kini meningkat antara RM3.6 bilion hingga RM3.9 bilion

Kerja pembinaan ke atas projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) yang bermula pada Oktober 2009, kini siap 42 peratus namun kosnya dilaporkan meningkat hampir satu ganda dari kos asal.

Projek itu dianggar menelan kos antara RM3.6 bilion dan RM3.9 bilion berbanding kos asal RM2 bilion. Ia didakwa berikutan terdapat pengubahsuaian yang melibatkan pembinaan jambatan udara untuk kegunaan semua khususnya golongan kurang upaya serta kanak-kanak.

Terminal tambang murah itu bakal mengendalikan 45 juta penumpang apabila dijangka memulakan operasinya pada April 2013.

Menurut Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Tan Sri Bashir Ahmad Abdul Majid, KLIA2 bakal dilengkapi sistem pengurusan bagasi secara automatik, 68 pintu penerbangan, terminal berkeluasan 257,000 meter persegi dan perkhidmatan pengangkutan rel udara.

“Terminal KLIA2 yang disifatkan sebagai terminal terbesar dunia untuk penerbangan tambang rendah bakal menjadi ikon dalam industri penerbangan apabila ia membuka pintunya kepada dunia.

“Penumpang dikenakan caj tambahan 25 sen bagi penggunaan jambatan udara yang dimasukkan ke dalam harga tiket kerana ia memberi kemudahan kepada pengguna dari terminal ke pesawat dinaiki mereka walaupun ia membabitkan kos operasi RM200 juta setahun dan selebihnya ditanggung MAHB,” katanya pada majlis taklimat media mengenai projek pembinaan KLIA2 di Sepang.

Beliau berkata, syarikat penerbangan mempunyai pilihan untuk menggunakannya atau tidak kerana MAHB tetap membinanya bagi kemudahan orang ramai.
Dikuasakan oleh Blogger.