Header Ads

Lapan tahun mohon rumah PPRT tapi belum dapat

MUAR, Johor: “Lapan tahun saya mohon bantuan rumah PPRT, tetapi masih belum berjaya,” demikian luahan Shahrul Azwan Mohd Shah, 31, yang seakan sudah putus harapan untuk memohon semula rumah berkenaan.

Menurutnya, kekangan sumber kewangan untuk membina rumah sendiri mendorongnya membuat permohonan bantuan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang diperkenalkan oleh kerajaan.

“Sejak 2003, saya sentiasa berusaha membuat permohonan ini dengan harapan terpilih dan boleh menyediakan rumah yang selesa untuk keluarga.

“Tetapi mungkin belum ada rezeki dan hingga kini masih lagi tidak terpilih untuk perolehi rumah ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Shahrul berkata, isterinya mempunyai tanah di Kam­pung Raja Sari dan sesuai dijadikan sebagai tapak untuk membina rumah PPRT.

“Saya bercadang untuk bina rumah PPRT di situ jika terpilih menerima bantuan rumah PPRT,” katanya yang kini tinggal menyewa di rumah milik abang iparnya di Kampung Baru, Batu 6 Bakri dekat sini bersama isteri dan dua anaknya.

Katanya, dia sudah menyewa di rumah tersebut sejak lapan tahun lalu dan keadaan rumah itu juga semakin uzur, papan pada dinding rumah juga kian mereput dimakan anai-anai.

Menurutnya, pendapatannya sebagai pekerja kilang elektronik di Ledang sekadar mencukupi untuk menyara keluarga dan persekolahan anak-anaknya.

“Kadang-kadang yuran sekolah anak tertunggak kerana perlu dijelaskan ketika saya belum terima gaji.

“Tambahan pula, perbelanjaan sara hidup ketika ini agak tinggi dan sebahagian besar wang gaji banyak diperuntukkan untuk perbelanjaan keluarga,” katanya.

Shahrul berkata, kadang-kadang anak perempuannya yang berusia tujuh tahun merungut dengan keadaan rumah itu dan tidak sabar untuk pindah ke rumah baru.

“Saya hanya mampu memujuknya dan mintanya bersabar sehingga berkemampuan membina rumah baru,” katanya.

Sementara itu, Penghulu Mukim Bakri, Ishak Khalil ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyiasat perkara tersebut.

“Saya telah menyemak nama Shahrul dalam sistem e-Kasih, tetapi tidak tersenarai untuk melayakkannya mendapat bantuan rumah PPRT.

“Berdasarkan pendapatannya sebagai pekerja kilang, keluarga Shahrul sudah melepasi paras garis kemiskinan,” katanya.

Oleh yang demikian katanya, Shahrul layak membuat permohonan rumah menerusi projek Rumah Mesra Rakyat.

Sumber: Sinarharian.com.my
Dikuasakan oleh Blogger.