Header Ads

Liga Juara-juara: Drogba bantu Chelsea benam Valencia, layak pusingan kalah mati

Dua jaringan Didier Drogba membantu Chelsea menewaskan Valencia 3-0 awal pagi tadi sekaligus membolehkan kelab London itu yang ke pusingan kalah mati Liga Juara-juara Eropah dengan menjuarai kumpulan E.

Chelsea tidak perlu menunggu lama untuk menghasillkan gol pertama dengan gerakan cantik Juan Mata sebelum menghantar bola kepada Drogba yang melorong bola melepasi penjaga gol Valencia, Diego Alves pada minit ketiga.

Suasana di Stanford Bridge bertambah gamat apabila Chelsea menjaringkan gol kedua menerusi pemain Brazil, Ramires pada minit ke-22.

Drogba menjadi pemain terbaik Chelsea dengan jaringan keduanya pada minit ke-76 sekali lagi hasil hantaran Mata.

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan E, kelab Belgium, Racing Genk seri 1-1 menentang Bayer Leverkusen di laman sendiri.

Kumpulan F pula menyaksikan kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal tewas 3-1 lawan Olympiakos di Stadium Karaiskakis manakala Borussia Dortmund pula tewas 3-2 menentang Marseille di tempat sendiri.

Meskipun tewas 2-0 kepada Shakhtar Donetsk di laman sendiri, APOEL Nicosia menjuarai kumpulan G dengan sembilan mata. Zenit Petersburg seri tanpa jaringan menentang FC Porto.

Perlawanan kumpulan H pula menyaksikan Barcelona membelasah BATE Borisov 4-0. Barcelona yang menurunkan barisan mudanya kerana merehatkan barisan utama untuk menentang Real Madrid Ahad ini ternyata tidak menghampakan.

Satu lagi perlawanan, AC Milan seri 2-2 menentang Viktoria Plzen.

Sumber: Arena.my
Dikuasakan oleh Blogger.