Header Ads

Liga Super Indonesia diharamkan: Safee Sali mungkin tersingkir dari skuad Harimau Malaya

PENYERANG sensasi negara Safee Sali yang bermain dengan kelab Pelita Jaya dari Indonesia, mungkin tidak boleh mewakili skuad Harimau Malaya selepas badan induk bola sepak dunia (Fifa) mengharamkan kejohanan Liga Super Indonesia (ISL).

Menurut portal berita akhbar Republika, surat pengharaman ISL oleh Fifa itu ditujukan kepada Ketua Umum Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Djohar Arifin Husin yang menyatakan ISL adalah liga yang tidak diakui badan dunia itu.

Menurut kandungan surat itu, Fifa menerusi surat yang ditandatangani Setiausaha Agungnya, Jerome Valcke dan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Alex Soosay menetapkan status haram kepada semua pemain, pegawai dan pengadil yang terbabit dengan ISL.

“Pemain yang bermain di ISL juga akan dikenakan pembekuan status perpindahan. Ini bermakna pemain tidak boleh bermain di liga atau kejohanan di negara yang juga anggota Fifa. “Pemain seperti Safee juga terancam, tidak boleh bermain di luar ISL,” menurut portal itu.

Safee sebelum ini berkata sekiranya kelab Pelita Jaya yang diwakilinya terbabit dengan penggantungan Fifa, beliau akan cuba mencari peluang bermain di negara lain dan dalam masa yang sama mahu bermain untuk pasukan kebangsaan Malaysia. Bagaimanapun, Fifa memberikan tarikh akhir 20 Mac depan kepada Indonesia untuk menyelesaikan segala polemik yang berkaitan dengan arena bola sepak di republik itu atau berdepan tindakan penggantungan atau pengharaman.

ISL adalah kejohanan kelab bola sepak profesional Indonesia tetapi tidak bernaung di bawah badan induk bola sepak negara itu, PSSI.

Sumber: Bernama.com
Dikuasakan oleh Blogger.