Header Ads

Mahasiswa berhimpun 16 jam tuntut kebebasan Adam

Sekumpulan mahasiswa akan mengadakan perhimpunan menuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menggugurkan tuduhan terhadap penuntutnya Adam Adli Abdul Halim kerana menurunkan bendera Datuk Seri Najib Razak.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Ahmad Syukri Ab Razab berkata, mereka akan berkampung selama 16 jam di hadapan UPSI bermula 9 malam pada 31 Disember sehingga jam 1 petang keesokan harinya.

"Malam itu kita namakan sebagai 'Malam Talkin untuk AUKU' (Akta Universiti dan Kolej Universiti... Tindakan kita duduk (di situ) sebagai simbolik.

"Akan ada juga ucapan daripada pimpinan pelajar termasuk Adam sendiri," kata Ahmad Syukri (kiri).

Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, Ahmad Syukri berkata, sepanjang tempoh tersebut pihaknya merancang beberapa aktiviti, antaranya meletakkan bunga di hadapan pintu masuk UPSI.

Pada 23 Disember lalu, Adam Adli menerima surat panggilan ke jawatankuasa disiplin UPSI dan berdepan dua pertuduhan, iaitu mencemarkan nama universiti serta memberi ancaman kepada ketenteraman awam.

Ia berikutan tindakannya menurunkan bendera Najib selepas SMM menyerahkan memorandum menuntut kebebasan akademik kepada Timbalan Menteri Pengajian tinggi Datuk Saifuddin Abdullah dan Suruhajaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Tindakan itu menimbulkan kemarahan pelbagai khususnya sekumpulan penyokong Umno.Pelajar tersebut juga berdepan pelbagai ancaman dan ugutan.

Sementara itu, Kumpulan Aktivis Mahasiswa Indipenden (KAMI) pula dalam kenyataannya hari ini berkata, UPSI tidak mempunyai hak untuk menghalang Adam (kanan) "menjalankan hak sivil sebagai warganegara".

"Ancaman apa yang dimaksudkan itu tidak pasti, yang kami tahu kedua-dua pertuduhan ini adalah tidak berasas, tidak berpelembagaan, tidak sah dan jelas serta tidak masuk akal.

"Tindakan Adam Adli ini sebenarnya dijamin dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan bersuara yang merupakan undang-undang tertinggi dalam negara ini," katanya.

Sumber: Malaysiakini.com
Dikuasakan oleh Blogger.