Header Ads

Mampukah suapan RM2.71B untuk Umno-BN tawan Selangor

Oleh Mat Zahari Ali

Pada 19 Disember lalu, Perdana Menteri merangkap Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan RM2.71 bilion diperuntukkan untuk Selangor.

Sehari selepas itu Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor pula, Datuk Seri Noh Omar mengeluarkan kenyataan bahawa peruntukan Kerajaan Pusat untuk membangunkan Selangor lebih besar dari kerajaan negeri.

Menurut Noh lagi, di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10), sebanyak RM2.62 bilion disalurkan Kerajaan Pusat untuk melaksanakan 628 projek di Selangor, dan sebanyak RM83.81 juta lagi disalurkan menerusi pelbagai agensi dan kementerian.

Manakala peruntukan RM2.71 bilion yang di terima Umno/BN kali ini adalah amat besar jika dibandingkan peruntukan untuk lima tahun bagi RMK-10 tersebut.

Kerajaan Selangor pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika membentangkan belanjawan 2012 baru-baru ini mengumumkan peruntukan RM1.9 bilion wang kerajaan negeri untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunannya.

Susulan itu, Khalid menegaskan Najib dan Noh tidak perlu mendabik dada kononnya menyalurkan peruntukan yang besar untuk projek pembangunan di Selangor.

Katanya, kesemua wang pembayar cukai dan dana rakyat tersebut akan di salurkan kepada ketua-ketua Bahagian Umno/BN untuk tujuan pilihan raya umum akan datang dan bukan untuk rakyat negeri itu.

Sementara itu, wang tersebut juga di ambil dari belanjawan defisit negara dan bukannya dari perolehan sumber belanjawan berimbang. Ini meletakkan peruntukan tersebut terpaksa ditanggung oleh rakyat seluruh negara.

Menurut Khalid, penyaluran wang tersebut cuba 'dihalalkan' di atas nama pembangunan negeri Selangor sedangkan hakikatnya wang tersebut untuk disalur kepada pemimpin-pemimpin Umno/BN melalui ganjaran dengan membuat projek-projek 'mee segera'.

Projek-projek mee segera ini berupa projek-projek ringan seperti membina longkang, bilik gerakan pilihan raya dan sebagainya yang harganya berlipat kali ganda kerana selebihnya akan masuk ke saku pemimpin-pemimpin Umno bahagian serta kroni mereka.

Baru-baru ini ketika mengadakan kempen keindahan kediaman dan mengecat rumah pangsa di Gombak, Khalid hanya menggunakan peruntukan RM400,000 untuk menjayakan program tersebut.

Selang beberapa hari setelah pengumuman Najib, Umno Gombak pula mengumumkan peruntukan RM1.1 juta untuk tujuan yang sama. Bandingkanlah bagaimana 'pintarnya' pemimpin-pemimpin Umno mengurus tadbir wang dari dana rakyat tersebut.

Ujar Khalid lagi, wang tersebut seharusnya di salur kepada kerajaan negeri sebagai pemerintah yang sah bagi membolehkan wang tersebut diurus secara berhemah dan terancang.

"Ini adalah duit pembayar cukai dan bukan duit parti Barisan Nasional, wang RM2.71 bilion itu adalah pembangunan seluruh rakyat di Selangor dan bukan untuk kepentingan segelintir pemimpin-pemimpin Umno/BN," kata Khalid.


Pakar perampas

Najib telah melantik diri beliau sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Selangor selepas Dr Khir Toyo meletak jawatan ekoran kes rasuah berhubung memiliki banglo di atas dua tanah lot di Shah Alam.

Perlantikan beliau tersebut memperjelaskan lagi bahawa Umno Selangor benar-benar ketiadaan calon berwibawa. Mungkin Najib sendiri tidak yakin dengan kemampuan Umno Selangor untuk merampas kembali negeri Jugra tersebut dari PR.

Najib mempunyai alasan kukuh untuk mengetuai Umno Selangor. Sebagai menteri kewangan, beliau telah merasakan betapa perbendaharaan wang negara sedang berada dalam keadaan nazak. Manakala Selangor adalah negeri yang kaya.

Lantaran itulah Najib mengeluarkan kenyataan bahawa beliau dan Umno akan bertindak merampas kembali Selangor walau dengan apa cara sekali pun.

Najib mempunyai pengalaman merampas Perak pada 2009 ketika berlaku krisis perlembagaan di negeri bekas pengeluar bijih timah dunia itu. Najib juga di lantik menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Perak ketika usaha merampas Perak dari tangan PR.

Tujuan Najib berada di posisi tersebut semata-mata bagi membolehkan wang yang diperuntukkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) di keluarkan untuk membeli mana-mana pemimpin PR yang ingin melompat parti.

Dalam kehidupan peribadi beliau pun, tidak perlulah dipanjangkan susulannya kerana Najib lebih maklum bagaimana beliau membentuk keluarga yang dimilikinya sekarang.


Dana rakyat Untuk Umno/BN


Selama ini mana-mana perdana menteri pun tidak pernah memperuntukkan dana yang sebegitu besar untuk 'membela' pemimpin-pemimpin Umno bahagian. Ini disebabkan segala kontrak secara terus dapat di berikan kepada ketua-ketua bahagian tersebut.

Dari projek klas A hingga kepada tender cuci longkang dan potong rumput, semua disapu oleh kroni-kroni ketua bahagian dan mereka yang rapat dengan pemimpin.

Maka tidak hairanlah kebanyakkan ketua-ketua bahagian Umno mempunyai rumah banglo bagaikan istana hinggap.

Apabila Selangor jatuh kepada PR, semua punca pendapatan ketua-ketua bahagian tersebut hilang. Dasar tender terbuka Khalid bagaikan menutup segala periuk nasi mereka.

Disebabkan selama ini Umno menjadikan wang sebagai kuasa untuk mendapatkan sokongan maka budaya tersebut telah memakan diri apabila sumber kewangan mereka terputus.

Kemelut ini tidak pernah di alami oleh Umno/BN kerana sebelum PRU 2008 lalu hanya Kelantan dikuasai pembangkang.

Sebagai jalan pintas, Najib teleh memberikan peruntukan yang sebegitu besar dibawah JPM yang dikepalai beliau.

Berdasarkan akta parlimen, peruntukan wang tersebut tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak termasuk pihak polis, mahkamah, Jabatan Audit Negera, SPRM atau pembangkang.

Peruntukan tersebut merupakan dana eksklusif kepada perdana menteri. Melalui peruntukan tersebut wang akan disalurkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) yang kemudiannya akan diagih kepada Pejabat-Pejabat Daerah dan Ketua-Ketua Umno Bahagian.


Ekonomi tenat, Pemimpin Umno kaya raya


Pada akhir 2010, jumlah hutang isi rumah yang ditanggung rakyat Malaysia telah mencecah RM577 bilion bersamaan 77 peratus dari KDNK. Manakala jumlah hutang keseluruhan dan defisit negara berjumlah RM417 bilion. Jumlah ini merangkumi hampir 14 tahun negara berada dalam keadaan defisit.

Pada 7 Oktober lalu pula Najib baru sahaja membentangkan belanjawan 2012 bernilai RM232.8 bilion dengan RM181.58 bilion (78 peratus) perbelanjaan mengurus dan RM51.25 bilion ( 22 peratus) untuk perbelanjaan pembangunan.

Perbelanjaan mengurus yang sebegitu tinggi membuktikan fokas kerajaan pimpinan Najib pada 2012 bukan lagi kepada pembangunan negara tetapi usaha untuk menyelamatkan Umno/BN dalam menghadapi PRU 13 nanti.

Manakala perbelanjaan pembangunan pula bertujuan akan di beri fokus kepada projek-projek kroni yang akan membantu BN menghadapi pilihan raya nanti. Inilah amalan yang diamalkan oleh BN selama ini.

Sementara itu, menurut Indeks Prestasi Rasuah (CPI) Malaysia meningkat dari tangga 56 kepada angka 60. Angka ini memperjelaskan bagaimana amalan rasuah semakin berkembang biak dalam kerajaan dan Umno.

Didalam Umno sendiri, Isu politik wang ketika pemilihan dalam Perhimpunan Agung Umno telah menjadi darah daging yang tidak mampu diselesai hingga saat ini.

Lantaran itulah juga Najib tidak sanggup untuk di adakan pemilihan dalam Umno hampir tiga tahun disebabkan takut berlaku perpecahan dan sogokan wang yang akan dijadikan modal PR dalam PRU-13 nanti.


Penyelewengan Wang Rakyat di Selangor


Baru-baru ini bekas Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo didapati bersalah disebabkan amalan rasuah ekoran pembelian dua lot tanah di Shah Alam. Manakala bekas menteri Besar Selangor sebelum itu, Tan Seri Muhamad Taib juga didapati bersalah kerana membawa masuk berjuta wang tunai ke Australia beberapa tahun lalu.

Begitu juga dengan kes Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Noh Omar sebagimana didedahkan oleh Laporan Ketua Audit negara berhubung kehilangan RM110 juta dari Kementerian Pertanian dan Asas Tani yang diterajui beliau.

Ekoran itu petani dan pesawah di Selangor mengadakan tunjuk perasaan berhubung kehilangan dana yang di peruntukkan untuk subsidi peningkatan hasil petani di seluruh negara itu.

Sehubungan itu, Najib sekali lagi meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM117 juta lagi untuk Noh membayar kepada para pesawah selepas seminggu demontrasi tersebut berlangsung.

Persoalannya ke mana wang rakyat yang lesap dari kementerian Noh yang bernilai RM110 juta tersebut masih belum terjawab oleh beliau.

Ketika Sidang Dewan DUN Selangor November lalu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mendedahkan bagaimana syarikat milik Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Satim Diman menjual tanah di Cyberjaya yang berstatus milik orang Melayu kepada syarikat bukan Bumiputera.

Menurut Khalid, pendedahan terperinci berhubung kes pecah amanah melibatkan Satim akan didedahkan tidak lama lagi.

Kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada 25 Disember lalu bahawa "siapakah pemimpin Umno yang tiada masalah", membenarkan lagi bahawa rasuah dan sogokan melibatkan hampir kesemua pemimpin Umno di semua peringkat adalah suatu amalan yang telah lama berlaku.


Sokongan Rakyat


Dalam ucapan Setiausaha Agung PKR, ketika Kongres Tahunan ke-8 di Johor Bharu November lalu di Saifudin Nasution Ismail berkata berdasarkan bancian dalaman parti mendapati sokongan rakyat di Selangor amat memberangsangkan.

Katanya, dari bancian tersebut PR memerlukan lebih dari 809,000 undi untuk memperoleh dua pertiga kerusi Dun bagi menguasai kerajaan negeri. Manakala perolehan setakat November lalu mendapati sokongan rakyat terhadap PR melebihi 815,000 pengundi.

Berdasarkan pengalaman beberapa siri PRU lalu dan tindakan saat akhir yang dilakukan Umno/BN dalam pelbagai bentuk sogokan dan ugutan untuk meraih sokongan, PR memerlukan sekurang-kurang 15 peratus tambahan (lebih 100,000 undi) dari jumlah undi yang diperlukan bagi berada dalam keadaan selesa.

Pelbagai isu penyelewengan wang rakyat dan amalan rasuah dan sogokan politik seperti isu NFC dan rasuah membabitkan bekas Menteri Besar Selangor memberi impak yang besar terhadap penolakan rakyat terhadap Umno/BN.

Apatah lagi bagi pengundi di Selangor yang kebanyakkannya terdiri dari pengundi bandar dan separa bandar yang celik maklumat dan berpendidikan.

Bagi Najib dan Noh, sekiranya Selangor tidak dikembalikan pada Umno/BN semula dalam PRU akan datang bermakna Kerajaan Pusat sekarang akan kekal sebagai pembangkang.

Tanpa wang, rasuah dan sogokan telah lama Umno/BN berkubur. Ini disebabkan jentera BN hanya akan berfungsi apabila ada wang dan rasuah.

Apabila pusat jatuh ke tangan PR bererti BN akan ketiadaan sumber kewangannya. Dengan yuran tahunan keahlian Umno sebanyak RM2.00 setahun serta keahlian Umno berjumlah lebih kurang tiga juta apakah dengan RM6 juta tersebut mampu bagi parti tersebut beroperasi sebagimana sekarang.

Semua rakyat mungkin merasa hairan bagaimana kerajaan menggunakan wang berjuta ringgit untuk kepentingan Umno/BN di seluruh negara sebagaimana peruntukan RM2.71 bilion yang diberikan kepada Umno/BN Selangor.

Segala kehairanan ini setentunya akan terjawab apabila rakyat membuat keputusan meletakkan PR menerajui Putrajaya nanti.

Sumber: tvsnews.net
Dikuasakan oleh Blogger.