Header Ads

Menang pilihanraya: PAS ucap tahniah kepada Ikhwan Mesir

PAS menyampaikan ucapan tahniah kepada Ikwanul Muslimin Mesir yang menang besar dalam pilihan raya umum negara itu baru-baru ini.


Syed Azman (kanan) berbual dengan Mursyidul Ikhwan Muslimin Mesir, Dr Mohamed al-Badie’ di pejabatnya dekat Kaherah. | foto
Ucapan itu disampaikan oleh Penolong Setiausaha Agong PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad dalam kunjungan singkat ke Mesir baru-baru ini dan sempat bertemu serta bertukar maklumat dengan Mursyidul Ikhwan Muslimin Mesir, Dr Mohamed al-Badie’.

Pertemuan yang mewakili Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang itu adalah sempena kehadiran beliau sebagai anggota rombongan ahli pemerhati antarabangsa Pilihan raya Mesir di bawah seliaan PBB yang sedang berjalan sekarang.

Dalam pertemuan di pejabat baru Ikhwan yang tersergam indah itu, Dr Syed Azman telah menyampaikan ucapan tahniah seluruh kepimpinan PAS terutamanya Ustaz Hadi dan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di atas kemenangan besar awal parti politik gabungan Ikhwan, ‘al-Hurriyat wal Adalah’ (Parti Kebebasan dan Keadilan) atau Freedom and Justice Party (FJP).

FJP meraih majoriti kerusi di seluruh Mesir. Ini merupakan penanda awal terhadap perjuangan rakyat Mesir bagi membebaskan negara mereka daripada pemerintahan kuku besi bekas Presiden Mubarak.

Begitu juga dengan sokongan penuh PAS kepada seluruh kepimpinan Ikhwan Muslimin Mesir yang sejak sekian lama telah diharamkan dan dilarang terlibat dalam sebarang aktiviti politik oleh pemerintah Mubarak.

Menurut Dr Badie’, seluruh petugas Ikhwan Muslimin sedang sibuk mengadakan kempen di seluruh Mesir di bawah gabungan parti FJP dan sedang mengatur persiapan bagi meghadapi pilihan raya Presiden yang dijangka akan diadakan pada pertengahan tahun 2012.

Suasana baru ini juga sedang dimanfaat oleh Ikhwan bagi membangunkan semula negara Mesir bersesuaian dengan ciri-ciri yang lebih bersifat demokratik.

Sumber: Harakahdaily.net
Dikuasakan oleh Blogger.