Header Ads

Mykad: JPN mohon maaf kepada Dr Juanda

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah memohon maaf kepada Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya semalam ekoran kelemahan yang dilakukan kakitangan kaunter jabatan tersebut berhubung urusan permohonan kad pengenalan (Mykad) anak perempuan mufti berkenaan.


Dr. Juanda Jaya
Ketua Pengarahnya, Datuk Jariah Mohd. Said berkata, JPN tidak bermaksud untuk menafikan hak serta status kewarganegaraan anak Dr. Juanda iaitu Sumaiyah Syahidah yang berusia 12 tahun dalam kes terbabit.

Jariah berkata, isu yang timbul dalam kes tersebut adalah berhubung kait dengan kakitangan kaunter yang tidak merujuk kepada pegawai atasan bagi kes yang didapati meragukan.

“Pengurusan JPN telah mengenal pasti masalah berbangkit dan usaha memperbaiki kelemahan telah diambil supaya semua pegawai bertugas di bahagian kaunter dapat melaksanakan tugas secara profesional dan sentiasa bersikap membantu pelanggan yang berurusan dengan JPN.

“Sehubungan itu JPN memohon maaf di atas segala masalah dan kesulitan dihadapi Juanda ketika berurusan di kaunter JPN Kuching, Sarawak ekoran kelemahan kakitangan kaunter dalam menerangkan prosedur jabatan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kelmarin Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui satu kenyataan media memaklumkan permohonan Mykad oleh Sumaiyah Syahidah yang dibuat di pejabat JPN Kuching telah siap dan sedia untuk kutipan.

KDN memberitahu, siasatan mendapati masalah yang timbul itu lebih kepada masalah komunikasi oleh kakitangan kaunter JPN daerah terbabit.

Sebelum itu, isu terbabit dilaporkan berlaku selepas mufti mahu memohon kad pengenalan bagi anak perempuannya di pejabat JPN Kuching namun diberitahu anaknya itu bukan warganegara Malaysia.
Dikuasakan oleh Blogger.