Header Ads

Naza Kia lancar Optima K5 baru, sasar jualan 300 sebulan


THOMAS Ho (kiri sekali) bersama SM Nasarudin SM Nasimuddin (dua dari kiri), Presiden Rantau Asia Kia Motors Corporation, Choi Seon Pil (tiga dari kanan) dan Hafiz Syed Abu Bakar (dua dari kanan) pada pelancaran Kia Optima K5 baru dan Kia Red Cube di Petaling Jaya. | foto

Naza Kia Malaysia, pengedar rasmi kenderaan Kia di Malaysia, menyasarkan untuk menjual sehingga 300 buah sebulan kereta Kia Optima K5 baru yang dilancarkan semalam.

Kia Optima terbaru itu akan bersaing di dalam segmen D, dengan menampilkan beberapa ciri mewah dan premium.

Model terbaru di pasaran tempatan ini dilabelkan sebagai model paling menarik oleh Kia Motors dan pernah dinamakan antara model yang paling baik.

Ketua Pegawai Operasi Naza Kia Malaysia, Datuk Hafiz Syed Abu Bakar berkata, pengenalan model baru tersebut akan meneruskan persaingan Kia di pasaran tempatan, sekali gus memberi lebih banyak pilihan bagi penggemar kereta untuk segmen D.

“Jualan pada harga RM143,888 adalah yang kompetitif di pasaran jika diambil kira dengan pesaingnya di dalam segmennya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kia Optima dan Kia Red Cube, yang merupakan cawangan kedua di Asia Tenggara selepas Vietnam.

Turut hadir ialah Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Syarikat-syarikat Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin dan Naib Presiden Eksekutif Kanan dan Ketua Pegawai Operasi Kia Motors Corporation, Thomas Oh.

Berikutan pelancaran Kia Optima baru itu, Naza Kia meletakkan sasaran jualan untuk tahun depan meningkat dua kali ganda kepada 24,000 buah berbanding 12,000 buah pada tahun ini.

Hafiz berkata, daripada jumlah itu Kia Forte akan menjadi penyumbang utama kepada jualan diikuti oleh Kia Koup, Kia Sorento, Kia Sportage dan Kia Optima.

Kia Optima serba baru ini menampilkan enjin Theta II 2.0 liter yang menjana 165 PS dan 198 Nm torque dengan kelajuan enam transmisi automatik, selain penggunaan bahan api antara 7.6 liter bagi setiap 100 kilometer.

Ia turut dilengkapkan dengan kerusi dan stereng balutan kulit, kawalan auto cruise, pemanduan ECO, sistem bunyi infiniti dan lain-lain.

Menurut Hafiz, model terbaharu yang akan dilancarkan nanti telah banyak memenangi anugerah antarabangsa dan pihaknya amat yakin ia akan menjadi model popular di Malaysia.

Model terbaru itu didatangkan dengan tiga warna iaitu putih salji, perak cerah dan platinum graphite.

Sementara itu, Naza Kia melabur RM15 juta bagi membuka Red Cube yang mengandungi pusat jualan, servis dan alat ganti.

Sebanyak dua lagi Red Cube akan dibuka di kawasan utara dan selatan tanah air dalam tempoh dua tahun akan datang.
Dikuasakan oleh Blogger.