Header Ads

Oh Melaka! Pendapatan RM15 sehari sara hidup keluarga

JASIN: Satu keluarga di Kampung Tehel di sini hidup bergantung pada pendapatan RM15 sehari diperolehi ketua keluarga yang hanya bekerja sebagai pemungut barangan kitar semula.

Nordin Ahmad, 35, sebagai ketua keluarga berkata dia menggunakan wang perolehan hariannya itu membeli makanan dibawa pulang untuk empat beranak termasuk anak sulungnya, Muhammad Afiq berusia 12 tahun.

"Saya ada empat orang anak, namun tiga daripadanya dijaga bekas isteri, dan Afiq tinggal bersama saya dengan seorang lagi anak lain bersama isteri baru.

"Setiap hari saya keluar mencari barangan terbuang yang boleh dijual seperti tin, besi buruk, botol atau surat khabar lama yang kemudian dijual bagi mendapatkan wang. "Hidup kami ''kais pagi makan pagi'' menggunakan semua wang pendapatan harian itu membeli makanan," katanya ketika ditemui pemberita di sebuah pondok usang di sini.

Nordin berkata ada kalanya dia menjual petai yang diambil di Senaling dan Inas, Negeri Sembilan, sebagai pekerjaan sambilan untuk menambah pendapatan.

Katanya, pondok kediamannya terletak bersebelahan rumah keluarga yang dibina menggunakan kayu dan kain kanvas diberi orang ramai yang bersimpati dengannya.

Menurut Nordin, hatinya sering merasa sedih mengenangkan kehidupan keluarganya yang terpaksa berteduh daripada cuaca hujan dan panas terik di pondok itu.

"Pondok ini bocor di sana sini, namun memadai bagi kami empat beranak berteduh dan meneruskan kehidupan. Jika hujan lebat, kami akan menadah baldi di tempat yang bocor dan tidur berhimpit di sudut yang tidak basah," katannya.

Walaupun bersebelahan rumah keluarga namun Nordin tidak meminta bantuan daripada mereka kerana mereka juga hidup dalam serba kekurangan.

Dia memerlukan wang untuk membesarkan anak-anaknya, tambahan pula Afiq akan memasuki sekolah menengah tahun depan.

Pernah Nordin sekeluarga ''mengikat perut'' beberapa hari disebabkan tiada wang, pada masa sama pula Afiq sedang menerima rawatan hospital kerana melecur terbakar.

"Pada masa itu, wang diperolehi digunakan untuk rawatan Afiq dan kami terpaksa meminta simpati keluarga mendapatkan makanan," katanya.

Nordin berkata anaknya itu tidak lagi boleh membuat kerja berat dan mengidap sakit kulit. Katanya, dia pernah memohon bantuan daripada pihak Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) namun sehingga kini belum mendapat sebarang jawapan.

Sumber: Bernama.com

WarkahDaily - Melaka negeri maju? Manalah kerajaan hebat yang dipimpin Ketua Menteri hebat tu. Ada lagi ke terlepas pandang dalam mengejar kemajuan? Rakyat hidup merempat pun tak sedar. Duk sibuk main politik, duk sibuk bicara pasal negeri orang, sampai rakyat sendiri tak cukup makan pun tak ambil peduli.
Dikuasakan oleh Blogger.