Header Ads

Pemain import: FAM tidak akan layan rayuan negeri dan kelab

SEMUA Persatuan Bola Sepak Negeri (FA) dan kelab yang menyaksikan permohonan pemain import mereka tidak diluluskan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana gagal memenuhi syarat mengikut piawaian Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), tidak perlu membuat rayuan kerana tindakan itu tidak akan dilayan FAM.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, berkata segala peraturan dan syarat mengenai pengambilan pemain import sudah jelas dan dimaklumkan kepada mereka sejak Julai lalu dan untuk itu, tiada sebab bagi pihak FA mahupun kelab mengemukakan rayuan semula kepada FAM.

“Tak ada makna kalau nak buat rayuan pun sebab segala syarat dan peraturan sudah ditetapkan dan mereka juga sudah dimaklumkan awal-awal lagi.

“Jadi patuhi sajalah segala peraturan yang sudah ditetapkan. Kalau nak (mendaftarkan pemain import) juga, buatlah permohonan semula pada pendaftaran kedua,” katanya.

Pendaftaran kedua dijangka akan berlaku pada April iaitu pertengahan musim Liga Malaysia.

Jawatankuasa Pemeriksaan, Pemantauan dan Ketelusan FAM menerusi satu kenyataan semalam meluluskan seramai 26 pemain import bagi mewarnai arena bola sepak tempatan menjelang saingan musim depan dan kelulusan itu dibuat berdasarkan kepada syarat ditetapkan Fifa.

Syarat itu menetapkan status pemain ditentukan oleh kelab terakhir disertai, misalnya jika dari Amerika Latin dan Eropah, pemain mestilah dari Divisyen 2 ke atas, manakala bagi negara Asia, pemain mestilah dari Divisyen 1 ke atas.

Bagaimanapun, jawatankuasa itu membuat keputusan tidak meluluskan permohonan tujuh pemain atas sebab tidak memenuhi syarat FAM yang mengikut piawaian Fifa iaitu Richard Offiong (Johor), Tito Fernando Da Silva Pinto dan Tiago Lima Leal (Johor FC), Bianchi Parades Santiago (Felda United), Marquen Nuquen Goncalves (Negeri Sembilan), Sergey Ivanov (Pahang) dan Helmi Loussaief (PKNS FC).

Permohonan membabitkan pemain Terengganu, Tercio Nunes Machado dan Oladimeji Mathew Talabi dari pasukan kelab Negeri Sembilan, Betaria FC pula ditarik balik.

Azzuddin menambah, apa yang berlaku ketika ini perlu dijadikan pengajaran setiap pengurusan FA dan kelab iaitu meneliti secara lebih terperinci semua syarat ditetapkan. Katanya, setiap pengurusan negeri dan kelab perlu bertindak lebih awal iaitu sebelum tarikh tutup pendaftaran pemain pada 8 Disember lalu untuk membuat sebarang perubahan.

“Seperti saya katakan tadi, syarat sudah jelas jadi mereka (FA dan kelab) perlu teliti dan berhati-hati untuk mematuhi semua syarat bagi melicinkan perjalanan liga,” katanya.
Dikuasakan oleh Blogger.