Header Ads

Pengarah syarikat hadapi tuduhan rasuah tender sekolah

Seorang pengarah sebuah syarikat swasta yang merupakan suami kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Bhd (IIB) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Johor Baharu semalam terhadap tiga pertuduhan rasuah berhubung tender membina dan menyiapkan sekolah di sini, tahun lepas.

Rasuah itu kononnya sebagai upah membantu syarikat Detect Engineering Sdn Bhd mendapat tender membina dan menyiapkan sekolah menengah berasrama penuh bernilai RM40.8 juta di atas sebahagian lot PTD 154971, Mukim Pulai, di Johor Baharu, daripada IIB.

Mohd Amin Suhaimi, 52, dituduh meminta suapan wang tunai RM816,900 daripada seorang pengarah Detect Engineering Sdn Bhd, Mohd Hassan Madon, 48, melalui Mohd Iskandar Fahmi Abdullah, 52, di Cafe Para-Para, Hotel Grand Paragon, Taman Century, di Johor Baharu, kira-kira 5 petang, 22 April 2010.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima suapan wang tunai RM500,000 daripada Mohd Hassan melalui Mohd Iskandar Fahmi, di tempat letak kereta Kompleks City Square, di Jalan Wong Ah Fook, di sini, kira-kira 4 petang, 4 Jun 2010.

Mohd Amin juga dituduh menerima suapan wang tunai RM316,900 daripada individu yang sama di tempat letak kereta Plaza Kota Raya, Jalan Trus, di Johor Baharu, antara pukul 2 dan 3 petang, 9 Jun 2010.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Mohd Amin didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Hakim Mohd Nasir Nordin membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Mohd Nasir turut menetapkan 27 Jan depan untuk sebutan semula kes dan 5 hingga 16 Mac depan untuk bicara.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Abdul Ghafar Abdul Latif manakala Mohd Amin diwakili peguam Shamsul Sulaiman. -Bernama

Sumber: Malaysiakini.com
Dikuasakan oleh Blogger.