Header Ads

Penjara atau bebas: Nasib Anwar diketahui 9 Januari

Nasib Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diketahui pada 9 Januari depan kerana Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur akan membuat keputusan akhir terhadap kes tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Peguam Anwar, Karpal Singh dan Ketua Pendakwaan, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, masing-masing selesai berhujah di akhir kes pembelaan, semalam.

Hakim, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah lantas menetapkan tarikh berkenaan yang akan menentukan sama ada Anwar bebas atau disabitkan kesalahan, seterusnya dipenjarakan.

Jika sabit kesalahan, hukuman mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang dipertuduhkan ke atas Anwar itu boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.Pada 7 Ogos 2008, Anwar, 64, mengaku tidak bersalah meliwat Mohd Saiful, 26, di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara di sini, antara 3.10 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Pada 16 Mei tahun ini, mahkamah memerintahkan beliau membela diri selepas memutuskan Mohd Saiful adalah seorang saksi boleh dipercayai dan berkredibiliti. Kes melibatkan Mohd Saiful ini ialah dakwaan yang kedua dihadapi beliau selepas dituduh meliwat pemandu Azizan Abu Bakar pada 1998.

Anwar disabit kesalahan dan dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi, tetapi selepas empat tahun, Mahkamah Persekutuan menolak sabitan itu dan mengetepikan hukuman penjara terhadapnya.

Sumber: Sinarharian.com.my
Dikuasakan oleh Blogger.