Header Ads

Penyelesaian isu Hasan Ali: Bezanya Ulamak dan Profesional

WarkahDaily – Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz begitu terharu dengan permohonan maaf dari bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohd Ali dari pimpinan PAS dan menarik balik segala kenyataannya terhadap PAS sebelum ini.

Dalam suasana masing-masing berlapang dada, Dr Hasan (kanan) telah bertemu dengan pimpinan tertinggi PAS semalam di JKR 10, Kelantan yang turut dihadiri bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa sebagai usaha menyelesai masalah dalaman yang berlaku dalam PAS baru-baru ini.

Sementara dipetik dari Harakahdaily, Tuan Guru Nik Aziz yang juga MB Kelantan turut melahirkan rasa bersyukur di atas rasa rendah diri Datuk Hassan Ali yang bersedia memohon maaf serta menarik balik kenyataan negatifnya terhadap parti.

“Saya melahirkan rasa syukur di atas rasa rendah diri Datuk Hassan Ali yang bersedia memohon maaf serta menarik balik kenyataan negatifnya terhadap parti sebelum ini.

“Bukan mudah bagi orang yang melakukan kesalahan serta mengakuinya dan memohon maaf, jadi tindakan beliau itu begitu mengharukan saya.

“Saya juga berharap, orang lain yang mempunyai masalah seperti ini berlapang dada seperti Datuk Dr Hassan,” kata Nik Aziz kepada pemberita ketika melawat kesan hakisan ombak di Pantai Irama, Bachok, semalam.

MB Kelantan juga turut mahu mengadakan kenduri sebagai tanda kesyukuran sebaik penyelesaian isu panas dalam parti itu.

“Saya sendiri akan membuat kenduri makan tengahari kecil-kecilan di JKR 10 hari ini tanda kesyukuran penyelesaian kes ini.

“Saya berharap PAS Pusat boleh menganjurkan kenduri besar-besaran untuk meraikannya dan ahli-ahli PAS boleh memberi sumbangan untuk menjayakan kenduri kesyukuran ini,” cadang beliau.

Bila pemimpin berilmu menyelesaikan masalah

Dalam pertemuan bersejarah yang diusahakan oleh kepimpinan PAS Pusat itu amat berkesan sekali dengan dihadiri juga dua lagi pemimpin iaitu Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din.

Penulis WarkahDaily (WD) cukup teruja dan kagum akan keberkesanan yang dimainkan oleh tiga pemimpin tertinggi PAS yang bertaraf ulamak dalam memainkan peranan penting dalam meredakan ‘kepanasan’ yang tercipta dalam PAS.

Apa yang mahu penulis bicarakan, kebijaksanaan yang Allah berikan kepada pemimpin PAS dalam menyejukkan kembali isu panas yang mungkin di mata orang awam, ianya amat sukar sekali untuk dibaik pulih dalam keadaan yang begitu ‘hot’, saling serang-menyerang sesama sendiri. Betapa pentingnya diplomasi dalam mendamaikan pihak yang bertelagah. Malahan dalam peperangan pun ianya turut diamalkan.

Namun, di sebalik kebijaksanaan pemimpin tertinggi PAS itu, terdapat beberapa orang bertaraf pemimpin kanan dalam parti bertindak melulu dan tidak bijak dalam memberi komen dan pendapat. Walau marah sekali pun, kenapa harus diperangi ‘kawan’ sendiri sehingga sanggup meminta keluar dari PAS.

Jika ya Hasan memerangi parti seperti yang didakwa sesetangah pemimpin yang tidak cermat dalam menutur kata-kata, kenapa Mursyidul Am, Timbalan Mursyidul Am dan Presiden tidak melatah seteruk itu?

Api yang sedang marak yang cuba dituang minyak oleh orang-orang tertentu, berjaya dipadam oleh ketiga-tiga pemimpin PAS bertaraf ulamak yang sudah tentu diajar dalam pengajian mereka sebelum ini dengan cara Rasulullah menyelesaikan perbalahan sesama sendiri agar tidak mudah digoncang musuh.

Berhemah dalam menyelesai masalah

Gelojoh dan tidak berhemah adalah sifat yang tidak sepatutnya ada dalam diri pemimpin sebuah parti Islam.

Jangan ada yang dikatakan ‘lebih senduk dari kuah’. Bukan nak perelokkan keadaan tetapi di tambahnya lagi kekecohan dengan ungkapan menyakitkan.

Jika ada beberapa pemimpin kanan PAS bertindak demikian, seharusnya mengambil pengajaran dan pelajaran dari cara ulamak-ulamak PAS menyelesaikan masalah. Sudah tentu mereka tidak jauh dari mengharapkan rahmat dan keberkatan Allah dalam setiap perbuatan.

PAS adalah parti Islam yang bukan sahaja mengharapkan sokongan pengundi, malahan mahu mendidik dan tarbiah ahli yang sudah berada dalam PAS selain menjalankan kerja-kerja dakwah.

Bukan sebaliknya, berusaha mahu menjauhkan orang ramai dengan PAS dengan tindakan melulu kita yang tidak cukup berhemah dan dilihat kasar dalam menyelesai masalah. Itu bukan caranya,malah bakal menambahkan lagi masalah.

Jangan fikir nak menang je bro! tapi perangai macam Umno juga, serang-menyerang sesama sendiri dalam media. Rosak nama parti Islam jika ia dilakukan oleh pemimpin sendiri.

Bezanya PAS dengan Umno ialah pegangan agama. PAS bergerak di atas agama dan berpaksikan kepada ajaran Rasulullah SAW.
Dikuasakan oleh Blogger.