Header Ads

Piala Carling: Manchester United dimalukan Crystal Palace

Gergasi EPL, Manchester United tersungkur 2-1 kepada kelab Championship, Crystal Palace dalam aksi suku akhir Piala Carling awal pagi kelmarin.


Tonggak Manchester United, Antonio Valencia (kiri) bersaing dengan pemain Crystal Palace, Stuart O'Keefe (kanan) dan Dean Moxey dalam perlawanan pusingan kelima Piala Carling yang berlangsung di Old Trafford. | foto AFP
Gol kemenangan Crystal Palace hadir menerusi pemain gantian, Glenn Murray pada masa tambahan selepas penyerang Red Devils, Federico Macheda menamatkan kemarau jaringan di Old Trafford selama 18 bulan.

Pelawat yang tidak gagal menjaringkan sebarang gol dalam lima perlawanan terakhir mendahului rembatan jarak jauh Darren Ambroses.

Walaupun menurunkan barisan keduanya, Sir Alex Ferguson masih menaruh harapan United mampu menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik selepas Manchester City, Liverpool dan satu lagi kelab Championship, Cardiff sudah pun mara lebih awal.

Palace melupakan prestasi buruk mereka sebelum ini dengan mengatur gerakan yang mampu mengancam benteng United. Seawal minit pertama, sepakan pemain sayap Palace, Wilfried Zaha sedikit sahaja melepasi palang gol tuan rumah.

Antonio Valencia dan Park Ji Sung kemudian merencana gerakan United yang menyaksikan cubaan Darron Gibson tersasar. Dimitar Berbatov turut memiliki peluang di depan gol tetapi tandukannya yang berpunca dari sepakan sudut Gibson tepat ke dakapan penjaga, Lewis Price.

Ferguson kemudian terpaksa menukar taktiknya selepas Fabio Da Silva terpaksa digantikan dengan Ezekiel Fryers sementara Berbatov turut mengalami kecederaan pergelangan kaki sekaligus memberi laluan buat Ravel Morrison.

Valencia mempersiakan peluang terhidang ekoran kesilapan Anthony Garders namun cubaan sayap itu tidak tepat ke sasaran.

Masalah kecederaan United terus berlarutan dan kali ini Rafael pula terpaksa diusung keluar dan Paul Pogba dimasukkan bagi mengukuhkan bahagian tengah.

Pada minit ke-65, Ambrose menjaringkan gol kelimanya musim ini selepas berjaya mengutip bola daripada kawasan tengah United sebelum melepaskan rembatan dari jarak 25 ela.

United terus buntu di depan gol yang menyaksikan Pogba hampir menyamakan kedudukan dan akhirnya kesilapan Patrick McCarthy yang menarik Macheda menghadiahkan penalti buat United yang disempurnakan sendiri oleh penyerang dari Itali itu.

Ketika perlawanan berlanjutan ke masa tambahan, Gibson melepaskan satu rembatan kencang dari jarak 20 ela. Selang tujuh minit kemudian, sepakan percuma Ambroses berjaya dibaca Murray untuk Palace kembali di depan.

Ambroses hampir menambah derita United tetapi kali ini Ben Amos lebih bersedia mematahkan sepakan percumanya.

Palace bertahan pada separuh masa kedua masa tambahan untuk mencatatkan kemenangan pertama mereka di Old Trafford sejak 1989. -AFP
Dikuasakan oleh Blogger.