Header Ads

Piala Perpaduan: Kelantan tewas kepada Persebaya

Kelantan menimba pengalaman berguna menjelang saingan musim 2012 selepas tunduk kepada Persebaya Surabaya 3-2 di Surabaya.

Dengan itu, Persebaya muncul juara Piala Perpaduan dalam perlawanan timbal balik itu dengan agregat 4-3 selepas keputusan di Kota Bharu terikat 1-1.

Jelas sekali, Sang Kijang masih memerlukan masa untuk mencapai tahap terbaik mereka dan beberapa kelemahan perlu diperbaiki segera bukan sahaja untuk menghadapi kempen Liga M musim depan, malah mereka juga turut akan menghadapi saingan Piala AFC.

Jelas sekali bahagian pertahanan perlu diberi perhatian khusus kerana acap kali mudah hilang tumpuan ketika diadakan. Tiga gol yang diperolehi pasukan Buaya Hijau itu tidak sepatutnya berlaku seandainya para pemain lebih peka bagi memberi perlindungan kepada Khairul Fahmi Che Mat.

Penjaring gol pertama, Andik Firmansyah menjadi duri dalam daging buat Kelantan menerusi kelincahan dan teknik kawalan bola dari bahagian sayap.

Walaupun menguasai bahagian tengah pada pertengahan babak pertama, Kelantan dilihat kekurangan ilham untuk melakukan percubaan ke kubu lawan ekoran gandingan Norshahrul Idlan Talaha dan Mohammed Mahmoud Ghaddar yang belum serasi.

Penyerang import dari Lebanon itu memiliki kemampuan untuk menyimpan bola tetapi sering mendapati dirinya dalam dilema akibat bersendirian ketika cuba di bahagian depan.

Barangkali juga disebabkan tatus sebagai perlawanan persahabatan, para pemain Kelantan seperti tidak berminat untuk mengambil risiko memberi tekanan sewaktu bola di kaki pemain lawan.

Atau mungkin, para pemain masih keletihan ekoran baru sahaja mengharungi perlawanan menentang Kuala Lumpur tiga hari lalu di Kelana Jaya.

Jaringan penyamaan Norshahrul Idlan Talaha pada babak kedua bagaimapun tidak bertahan lama apabila Persebaya kembali di depan dan Kelantan semakin tertekan apabila pertahanan Otavio Dutra menewaskan Khairul Fahmi buat kali ketiga.

Ketika anak-anak buah Peter Butler rancak melancarkan serangan, pertahanan kelahiran Brazil itu menyelinap ke atas dan tanpa dikawal melepaskan rembatan rendah ke sebelah kanan pintu gol Kelantan.

Persebaya yang selesa dengan kedudukan 3-1 kemudian lebih senang bertumpu di kawasan sendiri.

Kelantan mengambil kesempatan daripada situasi itu tetapi jaringan Indraputra Mahayuddin ternyata sudah terlambat.

Sumber: Arena.my
Dikuasakan oleh Blogger.