Header Ads

PRU-13: Pakatan Rakyat berpeluang tubuh kerajaan baru – Zaid Ibrahim

Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim berkata peluang pembangkang untuk menubuhkan kerajaan baru bergantung kepada sejauh mana masyarakat Melayu bersedia mendakap mereka.

“Orang Melayu akan menentukan siapa yang menang pilihanraya umum, bukan sahaja kerana mereka adalah kaum terbesar tetapi juga mereka diperintah oleh sebuah parti yang mengingatkan mereka bahawa hak mereka akan dicabar sekiranya mereka mengundi pembangkang,” kata beliau pada sebuah wacana politik anjuran akhbar Sinar Harian.

“Adakah mereka bersedia untuk membuat perubahan. Jika ya, maka hanya masa itu kita akan nampak berlakunya perubahan,” tambah beliau.

Wacana ‘Undi Siapa Jadi Penentu’ itu membariskan Zaid, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Nurul Izzah Anwar dan Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah daripada Universiti Malaya.

Zaid yang menubuhkan KITA setelah keluar dari PKR dan Umno berkata media arus perdana yang masih dikawal oleh kerajaan akan menyukarkan usaha memujuk pengundi untuk melakukan perubahan.

Zaid yang sebelum ini amat kritikal terhadap PR, khususnya Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat sendiri, berubah haluan minggu lalu apabila mengumumkan ia akan menyokong gagasan pembangkang itu dan tidak akan bertanding pada PRU ke-13.

Dalam pada itu Zaid nafikan beliau melompat parti ibarat katak dan menegaskan dirinya dipecat dari UMNO dan selepas itu keluar daripada Parti Keadilan Rakyat.

Beliau yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri menolak persepsi bahawa ahli politik yang lompat parti tidak mempunyai prinsip dan pendirian.

Menurut Zaid, tidak semua yang kekal dalam sesebuah parti itu adalah orang berprinsip dan baik untuk negara kerana mereka mungkin kekal serta menunjukkan kesetiaan kerana mempunyai kepentingan peribadi.

“Jika anda mempunyai pendirian tertentu, anda akan menfokuskan perjuangan anda kepada perkara pokok.

“Dalam politik, bukan mudah untuk menegakkan prinsip sendiri. Sukar untuk mengimbangi kepercayaan anda berbanding apa yang diperjuangkan parti kerana politik adalah bidang yang sukar.

“Pandangan anda mungkin tidak diterima (parti politik sendiri).

“Tak semua yang lompat itu boleh disalahkan dan tak semua yang setia itu baik,” tegasnya.
Dikuasakan oleh Blogger.