Header Ads

RM1.1 juta hadiah juara Liga Super musim depan

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan habuan lumayan bernilai RM 1.1 juta menanti pasukan yang muncul juara dalam saingan Liga Super pada musim depan.

Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Md Amin menyatakan kenaikkan ganjaran sebanyak 50 peratus akan menanti pasukan yang dinobatkan sebagai juara Liga Super musim depan, menurutnya lagi juara akan menerima habuan sebanyak RM750 ribu dan insentif sebanyak RM 350 ribu menjadikan jumlah keseluruhan hadiah bernilai RM 1.1 juta menanti pemenang.

Naib juara pula akan menerima habuan sebanyak RM 500 ribu, manakala pemenang tempat ketiga sebanyak RM 300 ribu.

Selain itu, FAM juga sedang dalam proses menimbangkan untuk memberi ganjaran wang tunai kepada pemenang Piala FA dan Piala Malaysia pada musim depan.

"Jawatankuasa kewangan yang dipengerusikan Tuanku Presiden telah menaikkan 50 peratus daripada jumlah hadiah kemenangan. Selain itu, usul juga akan dikemukakan untuk memberi ganjaran hadiah wang tunai kepada juara Piala FA dan Piala Malaysia," kata Hamidin.

Bagaimanapun pengumuman rasmi akan diumumkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzudin Ahmad selepas majlis undian Liga Malaysia 2012 pada Selasa.

Sementara itu, Hamidin turut mengesahkan sebanyak 14 pasukan yang akan beraksi dalam Liga Super dan 12 pasukan akan bertanding dalam Liga Perdana pada musim depan telah menepati syarat-syarat kewangan serta sistem pembiayaan gaji pemain tempatan dan import.

"Kita melihat daripada sudut sumber daripada KWSP, gaji tertunggak dan lain-lain kesemua pasukan, sebahagian daripada beberapa pasukan telah menyelesaikan masalah kewangan gaji di saat-saat akhir," tambah Hamidin.

Sebelum ini, FAM mengumumkan juara Liga Super musim depan hanya akan menerima hadiah kemenangan sebanyak RM 750 ribu namun dengan skim baru yang diperkenalkan ini akan menyaksikan juara akan menerima sejumlah RM 1.1 juta hadiah wang tunai.

Kancah Liga M'sia akan bermula pada 7 Januari dengan perlawanan pembukaan Piala Sumbangsih di antara juara Liga Super, Kelantan menentang juara Piala M'sia Negeri Sembilan dan diikuti dengan sepak mula Liga Super pada 10 Jan.

Sumber: Arena.my
Dikuasakan oleh Blogger.