Header Ads

Sarah Aliah Foong: Bermula dengan suara azan, kini dalami ilmu bersama AlHijrah

Bagaikan kain putih. Itulah gambaran diberikan kepada individu yang baru memeluk Islam, bebas daripada segala dosa lalu.

Saat mengucapkan dua kalimah syahadah, terasa kesyahduan di dalam jiwa tanda besarnya nikmat Tuhan Yang Maha Esa.

Bagi hos dan pembaca TV Alhijrah, Nur Sarah Aliah Foong, tiada apa yang lebih bermakna saat seluruh hidupnya mula diabadikan kepada agama yang syumul itu.

Mengenang kembali detik itu, Sarah berkata, dia langsung tidak menyangka perjalanan jauh di bumi orang tatkala menjalankan tugas bersama sebuah syarikat produksi pada 2007, telah membuka pintu hatinya.

“Ketika itu, saya berada di beberapa negara Islam termasuk Turki, Syria dan Lubnan bagi melakukan penggambaran sebuah program wanita.
“Kami singgah di merata tempat termasuklah sebuah bukit yang saya tidak ingat namanya. Sedang leka menikmati pemandangan indah di atas bukit, saya kemudiannya terdengar sayup suara azan,” katanya.

Menurut Sarah, kalimah suci yang menyeru umat Islam menunaikan ibadah solat itu seolah-olah meruntun hatinya.

“Entah kenapa, saya dapat merasakan ketenangan yang luar biasa. Saat itu, terdetik di hati saya untuk mengenali Islam dengan lebih dekat.

“Lagipun, sejak kecil saya sudah biasa melihat cara hidup orang Islam kerana bergaul dengan ramai rakan Melayu. Alhamdulillah, pada 2008, saya akhirnya memeluk Islam,” katanya diiringi senyuman.

Memegang gelaran saudara baru bukanlah penghalang buat wanita berusia 31 tahun ini untuk terus melengkapkan diri dengan ilmu agama.

Umpama bayi yang baru bertatih, sedikit demi sedikit Sarah ‘menagih’ ilmu dan tunjuk ajar daripada masyarakat sekeliling yang banyak membantunya.
Belajar dari TV Alhijrah

Oktober lalu, tawaran daripada TV Alhijrah untuk menjadi pembaca berita dan hos secara sambilan ibarat bulan jatuh ke riba.

Masakan tidak, dalam tempoh dua bulan bersama stesen berkonsep Islamik itu dia sudah mempelajari pelbagai perkara baru.

“Beraksi di depan kamera bukanlah asing buat saya kerana sebelum ini saya pernah berkhidmat di dua stesen televisyen terkemuka.

“Namun, saya terima tawaran TV Al Hijrah kerana tertarik dengan konsepnya yang lain dari stesen lain.

“Persekitaran di sini yang menerapkan aspek keislaman membuatkan saya dapat belajar dan bekerja dalam masa sama. Kakitangan lain juga tidak lokek berkongsi pengetahuan dan pandangan berkaitan isu agama,” katanya.

Menurut Sarah, dia diberi kepercayaan menggalas dua tanggungjawab iaitu sebagai penyampai Berita Alhijrah dan hos rancangan talkshow, Assalamualaikum.

“Melalui dua program itu, secara tidak langsung saya dapat menambah ilmu di dada melalui topik-topik yang diutarakan.

“Selain itu, penampilan saya sebagai seorang mualaf mungkin dapat menarik golongan saudara baru yang lain untuk menonton program menerusi TV Alhijrah,” katanya.

Malah, bersama stesen itu juga membuatkan dia lebih peka dalam menjaga penampilannya sebagai Muslimah.

“Apabila muncul di kaca televisyen, pasti ada orang yang kenal dan akan memerhati. Sebagai staf, sudah tentu saya perlu menjaga imej majikan dengan mengawal tingkah laku, penampilan dan sebagainya.

“Namun, dari sudut lain ia sememangnya dituntut dalam Islam agar seorang wanita itu sentiasa pandai menjaga diri,” katanya.
Program untuk mualaf

Mengakui televisyen antara medium untuknya mendapatkan sumber berkaitan agama, anak kelahiran Kuala Lumpur ini antara penonton yang teruja dengan kemunculan stesen yang sudah setahun beroperasi itu.

Apabila menjadi sebahagian keluarga TV Alhijrah, Sarah mahu memainkan peranannya bagi melihat lebih banyak rancangan yang dikhususkan kepada golongan sasarannya, mualaf.

“Sekarang pun sudah ada program Studio Mualaf yang sangat bagus isi kandungannya, tetapi rancangan sebegini masih kurang di Malaysia.
“Jika tiada halangan, mungkin saya akan mengemukakan kertas kerja untuk tampil dengan program khas bagi golongan mualaf suatu hari nanti,” katanya penuh azam.

Sumber: Sinarharian.com.my
Dikuasakan oleh Blogger.