Header Ads

Saya mahu kekal untuk tempoh yang lebih lama di Real Madrid

MADRID: Bintang sensasi Real Madrid, Cristiano Ronaldo menyuarakan hasrat mahu kekal bersama kelab gergasi Sepanyol itu lebih lama.

Kenyataan Ronaldo itu hadir beberapa hari selepas jurulatihnya, Jose Mourinho mengumumkan mahu berhijrah semula ke saingan Liga Perdana England.

"Saya gembira di sini (Madrid). Saya mahu kekal untuk tempoh yang lebih lama kerana saya begitu seronok berada di sini.

"Jadi, tidak ada sebab untuk saya berhijrah. Cabaran beraksi dalam Liga Sepanyol sememangnya mengujakan saya.

"Liga ini merupakan liga terbaik di dunia kerana membolehkan setiap pemain mempamerkan skil dan kualiti masing-masing," jelas Ronaldo.

Ronaldo, 26, sebelum itu diminta mengulas mengenai komen Mourinho yang tidak menolak kemungkinan kembali semula ke England.

Bekas pengurus Chelsea itu yang memiliki kontrak empat tahun bersama Real memberitahu, beliau mahu kembali semula ke England untuk tempoh yang lebih lama.

Mourinho, 48, dilihat calon paling layak menggantikan Alex Ferguson yang hanya menanti masa sesuai sebelum bersara sebagai pengurus Manchester United.

Ronaldo pula menyertai Real dari United pada Julai 2009 dengan yuran perpindahan termahal di dunia iaitu bernilai £122 juta (RM595 juta) dengan kontrak selama enam tahun.

Real ketika ini menerajui persada liga dengan mengumpul 40 mata, tiga mata di depan seteru utama, Barcelona. -AFP
Dikuasakan oleh Blogger.