Header Ads

“Saya masih Muslim dan akan kekal Muslim sehingga meninggal dunia” - Arif Alfian

Kontroversi pernikahan sejenis pelajar dari Malaysia, Arif Alfian Rosli dengan seorang lelaki ‘gay’ warga asing telah menggemparkan negara ini. Namun, pelajar jurusan perubatan di Dublin, Ireland itu dilaporkan enggan mengulas lanjut berkenaan perkahwinan songsangnya itu.

Walaupun begitu, Arif Alfian mengaku dia masih lagi beragama Islam. Ketika dihubungi media Ireland, IrishTimes.com, beliau menegaskan bahawa dia masih lagi seorang penganut agama Islam, tidak memeluk mana-mana agama lain dan kekal sebagai seorang muslim sehingga ke akhir hayatnya.

“Saya tidak memeluk agama lain, apa yang dilaporkan sangat bertentangan dengan hakikat sebenar. Saya dilahirkan sebagai Muslim, saya masih seorang Muslim dan akan kekal Muslim sehingga saya meninggal dunia. Tiada apa yang mampu menggoncang keimanan saya,” katanya kepada media berkenaan.

Arif Alfian juga menjelaskan bahawa dia sudah beberapa tahun tidak menghubungi ibubapanya di Malaysia ekoran satu perselisihan faham antara mereka, namun mengaku kerap menghubungi adik beradiknya yang lain.

“Saya ada sedikit salah faham dengan ayah saya pada tahun 2009…sehingga saya dilaporkan hilang, saya masih tidak berhubung dengannya, tapi saya sering berhubung dengan anggota keluarga yang lain,” katanya lagi.

Bapa Arif Alfian, Rosli Harun, 56, baru-baru ini memohon pertolongan dari akhbar Utusan Malaysia untuk mencari anaknya yang dikatakan ‘hilang’ setelah pencariannya menemui jalan buntu.

Memburukkan lagi keadaan, anaknya juga dikatakan telah berkahwin dengan seorang lelaki warga asing dan beberapa keping gambar serta video perkahwinan songsang itu turut tersebar di internet, termasuk salah satunya di lama web bigayweddingproject.com.

Majlis perkahwinan sejenis itu dipercayai berlangsung dalam sebuah gereja di luar negara dan Arif Alfian digambarkan memakai baju Melayu berwarna hitam, lengkap bersamping serta tanjak berwarna emas.

Pasangannya yang dianggarkan berusia lewat 30-an pula mengenakan busana sut lengkap warna hitam yang biasanya dipakai ketika majlis perkahwinan masyarakat Barat.

Arif Alfian ketika dihubungi media Ireland turut menafikan dakwaan dirinya ‘hilang’ dan menegaskan dia kini telah bermigrasi di Ireland secara sah.

“Saya tak hilang. Pihak berkuasa Ireland tahu saya tinggal secara sah di negara ini (Ireland). Kedutaan Malaysia juga tahu dan sedar mengenai saya yang tinggal secara sah di sini,” katanya lagi.

Selain itu, Arif Alfian juga menjelaskan bahawa dia secara tidak sengaja menarik perhatian masyarakat umum dan tidak mahu mencetus kontroversi atau masalah, khususnya terhadap keluarganya di Malaysia.
Dikuasakan oleh Blogger.