Header Ads

‘Saya tak dapat tolong’ - Misbun

Datuk Misbun Sidek menyedari, ada sesuatu yang 'hilang' dalam diri bekas anak didiknya, Datuk Lee Chong Wei kurang lapan bulan menjelang Sukan Olimpik, malangnya tiada apa yang dapat dilakukan untuk membantu pemain No. 1 dunia itu.


SAAT Lee Chong Wei dan Misbun Sidek bersatu sebagai pemain dan jurulatih tidak mungkin bertaut semula selepas pengakuan bekas sifu pemain No. 1 dunia yang tidak dapat membantunya, kelmarin.
Jelas Misbun, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memiliki ramai pakar yang lebih layak untuk menentukan apa yang terbaik buat Chong Wei bagi menggapai misi memburu pingat emas Olimpik, sedangkan beliau cuma orang biasa.

Malah jurulatih berpengalaman itu turut menambah, sebagai sebuah organisasi yang besar, BAM mampu menyediakan segala keperluan terbaik buat Chong Wei, manakala bagi dirinya, tanggungjawab terhadap pemain itu sudah selesai sejak beliau melangkah keluar dari badan induk itu, awal tahun ini.

"Kadang-kala saya masih ikut perkembangan Chong Wei dan selepas sekian lama mengenalinya, firasat saya mengatakan bahawa dia kehilangan sebahagian daripada dirinya dan kerana itu dia mudah hilang fokus hingga tidak dapat memberi permainan terbaik.

"Apa yang menjadikan dia begitu, saya tidak tahu, lagipun ia bukan tanggungjawab saya untuk menjawabnya. Anda kena tanya kepada jurulatih Chong Wei, saya cuma seorang kawan buatnya, jadi sebagai kawan saya hanya boleh lihat dia bermain dan berharap dia menang," katanya ketika ditemui pada hari terakhir Kejohanan Badminton Remaja MBPJ/Nusa Mahsuri 2011 di Kelana Jaya, kelmarin.

Sambil menyuarakan rasa simpati terhadap apa yang dialami Chong Wei, Misbun turut mengingatkan BAM, bahawa mereka perlu segera mencari penyelesaian kerana tugas menyiapkan juara Olimpik tidak mudah. "Ia bukan kerja yang kita boleh secara 'cincai', mereka kena betul-betul ada program yang tepat dan serius."

Malah ketika ditanya, apakah pendiriannya andai Chong Wei benar-benar menginginkan beliau kembali untuk membantu menggalas misi Sukan Olimpik, Misbun menegaskan, beliau langsung tidak mahu memikirkan perkara itu.

Biarpun mengakui ada beberapa kali bertemu juara All England itu tahun ini, namun pertemuan tersebut sekadar pertemuan antara dua kawan lama, dan beliau tidak menyentuh mengenai badminton atau apa yang dilakukan Chong Wei di atas gelanggang.

Tanpa dapat dipastikan mengapa Misbun tampak cukup berat untuk kembali bergabung dengan bekas anak didiknya itu, namun kata-kata yang diungkap jurulatih berusia 51 tahun itu meninggalkan sedikit persoalan, apakah beliau sudah serik untuk kembali ke pangkuan BAM.

"Perkara ini (permintaan Chong Wei) sebenarnya tidaklah susah sangat, tetapi hendak membersihkan 'keladak' itu yang susah. Ketika saya hendak keluar dulu, ada keladak yang kena dicuci, kemudian ia bersih dan perlu dicuci semula.

"Jadi sejak itu, saya langsung tidak mahu memikirkan tentangnya. Saya selesa dengan kehidupan saya sekarang, saya menyibukkan diri dengan macam-macam aktiviti dan sekali sekala saya bantu Nusa Mahsuri dalam program pembangunan pemain remaja," katanya lagi.

Persiapan Chong Wei, 29, untuk menghadapi Olimpik menimbulkan kerisauan selepas gagal melayakkan diri ke final dalam tiga kejohanan terakhir yang disertai, Terbuka Hong Kong, Terbuka China dan Siri Super Masters Akhir.
Dikuasakan oleh Blogger.