Header Ads

Skuad Olimpik garang belasah Central Coast Mariners dalam aksi kedua

Skuad Olimpik negara menamatkan siri perlawanan persahabatan di Australia dengan kejayaan membenam Central Coast Mariners 4-1 pagi tadi.


Ahmad Fakri Saarani (kiri) membuka tirai jaringan pada minit ke-13. | foto Arkib
Meskipun tewas 1-0 pada perlawanan pertama, anak buah Ong Kim Swee berjaya memperbaiki aksi mereka untuk melakarkan kemenangan besar dalam perlawanan kedua.

Central Coast yang meletak kesebelasan pemain campuran bermain dengan baik pada babak pertama permainan namun corak pantas yang dipamerkan oleh pemain negara nyata sukar menyekat Central Coast.

"Daripada perlawanan pertama para pemain bermain hari ini dengan baik, positifnya perlawanan hari ini ialah para penyerang dapat melakukan jaringan gol," kata Kim Swee yang memuji pemain penyerangnya.

Skuad Olimpik membuka tirai jaringan menerusi Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-13 selepas menerima hantaran daripada Fandi Othman.

Bersambung separuh masa kedua, Kim Swee melakukan pertukaran ke atas barisan pemainnya dengan membawa masuk Ahmad Hazwan Bakri bagi menggantikan Fakri.

Ternyata percaturan tersebut memberi impak hebat ke atas skuad negara apabila berjaya menambah tiga lagi gol pada separuh masa kedua.

Ahmad Hazwan (min 48 dan 60) berjaya menyumbat dua gol pada separuh kedua, manakala A. Thamil Arasu menambah gol keempat pada minit 71.

Gol saguhati kelab tuan rumah dijaringkan pemain pertahanan Ben German pada minit 85.

Skuad Olimpik negara sebelum ini dijadualkan menentang Newcastle Jets namun disebabkan jadual padat perlawanan tersebut terpaksa dibatalkan dan menyebabkan anak buah Kim Swee sekali lagi bertemu Central Coast Mariners sebagai ganti.

Dalam siri tersebut, skuad negara tewas hanya tewas sekali daripada tiga perlawanan yang diharungi.

Sumber: Arena.my
Dikuasakan oleh Blogger.