Header Ads

Turun bendera Najib simbol kemenangan siswa

Pemimpin pelajar, Adam Adli berkata tindakannya menurunkan bendera memaparkan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di ibu pejabat Umno dilakukan sebagai satu simbol kemenangan kepada siswa pada hari tersebut.

Dalam temubual disiarkan akhbar Sinar Harian kelmarin, Adam berkata, perhimpunan dan perarakan pelajar itu pada hujung minggu lalu – dari Masjid Jamek ke pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan seterusnya ke bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra – berlangsung dengan terkawal tanpa kekecohan.

Beliau juga tidak menyangka bahawa perkara berkenaan akan menjadi perhatian media kerana tindakan menurunkan bendera berkenaan, yang digantikan dengan bendera berslogan kebebasan akademik, juga hanya satu ekspresi dirinya.

Bendera itu juga hanya digantikan untuk beberapa ketika sebelum beliau menaikkan semula bendera asal.

"Bermula dari bangunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) lagi, kami berada di situ dalam tempoh yang agak lama, jadi kami bosan kerana tidak nampak kesan dari memorandum yang kami serahkan," katanya.

Apabila tiba di PWTC, pelajar berkenaan menyerahkan pula memorandum mereka kepada timbalan menteri pengajian tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, kata pelajar tahun tiga Universiti Pendidikan Sultan Idris itu.

"Bila kami menyerahkan memorandum, semua pelajar mendengar ucapan daripada Saifuddin. Bagi saya ia tidak boleh jadi," katanya.

Tambahnya, kumpulan pelajar dianggar seramai 350 orang itu sebelumnya bersungguh-sungguh melaungkan slogan kebebasan akademik.

"Tetapi apabila menteri datang terus jadi sama dengan pelajar lain. Nampak sahaja menteri, terus salam dan ambil gambar, bagi saya ini bukan cara sebenarnya.

"Jadi saya ambil bendera dan terus menurunkan bendera Najib digantikan dengan bendera Kebebasan Akademik

"Apabila pelajar lain nampak apa yang saya lakukan, barulah mereka merasakan kemenangan, bukan hanya jumpa menteri sudah rasa menang," katanya yang berniat supaya "kemenangan" itu dirasai oleh siswa yang menyertai perhimpunan berkenaan.

Sumber: Malaysiakini.com
Dikuasakan oleh Blogger.