Header Ads

901: PERKASA dalang letupan bom?

“Dato' Ibrahim Ali pernah membuat kenyataan kepada pihak media bahawa Perkasa akan turun untuk melakukan provokasi pada perhimpunan Bebaskan Anwar 901” -Shamsul Iskandar


Angkatan Muda Keadilan (AMK) semalam mencabar Pertubuhan Perkasa Pribumi Malaysia (Perkasa) membuat penafian bahawa Perkasa terlibat dengan tiga letupan bom di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 9 Januari lalu.

“Sebelum ini, Presiden Perkasa (Dato’ Ibrahim Ali) pernah membuat kenyataan kepada pihak media bahawa Perkasa akan turun untuk melakukan provokasi pada perhimpunan Bebas Anwar 901.

“Apakah wujud kemungkinan bahawa insiden letupan tersebut didalangi oleh ahli Perkasa?,” soal Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin (gambar) dalam satu kenyataan media semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Utusan Malaysia pada muka hadapan semalam bahawa tiga butir bom jangka buatan sendiri yang meletup dan mencederakan lima individu dipercayai dibawa oleh mereka yang menyertai perhimpunan kempen Bebaskan Anwar 901.

Sehubungan itu katanya, AMK ingin mencabar Perkasa supaya menafikan sebarang penglibatan mereka dalam insiden letupan tersebut.

Merujuk kepada kepala berita bertajuk ‘Peserta bawa bom’ dalam akhbar itu, beliau berkata laporan berita ini jelas bersifat jahat dan bertujuan untuk memburuk-burukkan imej penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, berdasarkan pemantauan pihak AMK pada pagi tersebut, peserta perhimpunan hanya dibenarkan masuk ke kawasan kompleks mahkamah seawal jam 6.30 pagi dengan dikawal ketat oleh pihak polis.

“Pihak polis turut memeriksa beg setiap peserta perhimpunan yang masuk ke perkarangan kawasan sekitar kompleks mahkamah dan kemudiannya meneruskan kawalan sehingga perhimpunan bersurai,” jelas beliau.

Menurut Shamsul, AMK berpandangan bahawa insiden letupan bom ini adalah percubaan jahat pihak tertentu untuk mencemarkan imej polis kerana difahamkan bahawa bom tersebut telah diletakkan di bawah kon keselamatan pihak polis sendiri.

“Di samping itu, ianya juga bertujuan untuk memburukkan imej peserta perhimpunan yang jelas berjaya menurut semua arahan polis dan memberikan kerjasama penuh dalam memastikan perhimpunan tersebut berjalan dalam situasi aman dan selamat,” katanya.

Sumber: Freemalaysiatoday.com
Dikuasakan oleh Blogger.