Header Ads

AirAsia X susun rancangan 30,000 tempahan talian yang dibatalkan

AIRASIA X membuat penyusunan rancangan bagi sekurang-kurangnya 30,000 tempahan dalam talian yang dibatalkan susulan penarikan balik penerbangan syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh itu dari London, Paris dan India.

Pengerusinya, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, walaupun kos bagi rancangan itu tidak didedahkan, penarikan balik itu mengurangkan dimensi kerugian yang dirasai AirAsia X berikutan peningkatan harga minyak dan cukai kerajaan.

Beliau berkata, sebarang kemungkinan bagi penyambungan semula laluan itu pada masa depan tidak diketepikan kerana strategi syarikat penerbangan tambang rendah bagi Eropah pada masa depan masih terbuka.

“Justeru itu, apa yang akan berlaku pada masa depan, kami tidak tahu, tetapi apa yang boleh kami katakan ialah pada masa terdekat ini adalah seperti apa yang diumumkan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama di Sidang Kemuncak Tahunan Majlis Pelajar Malaysia United Kingdom dan Eire 2012 di Marble Arch,London.

Sementara itu, AirAsia Bhd (AirAsia) mengumumkan sudah menerbangkan seramai 7.931 juta penumpang pada suku keempat tahun kewangannya berakhir 31 Disember 2011, peningkatan 12.3 peratus berbanding 7.063 juta penumpang dalam suku sama pada 2010.

Syarikat itu dalam kenyataannya berkata, daripada jumlah penumpang yang diterbangkan pada suku dalam kajian, 4.855 juta adalah dari Malaysia (2010: 4.440 juta), 1.821 juta dari Thailand (2010: 1.622 juta) dan 1.255 juta dari Indonesia (2010: 1.001 juta).

Tahun lalu, kumpulan itu mencatatkan sejumlah 29.860 juta penumpang, bertambah daripada 25.681 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya manakala tempat duduk tersedia mengikut kilometer (ASK) bertambah 13.5 peratus daripada 38,704 juta kepada 43,940 juta, manakala perolehan penumpang mengikut kilometer (RPK) melonjak 18.5 peratus kepada 35,091 juta daripada 29,613 juta dalam tempoh sama pada 2010.

Sumber: Bernama.com
Dikuasakan oleh Blogger.