Header Ads

Bank tempatan dibenar dagang mata wang asing

BANK tempatan berlesen kini dibenarkan berdagang mata wang asing dengan mata wang asing lain dengan pemastautin dan dibenarkan menawarkan derivatif kadar faedah dalam denominasi ringgit kepada bukan bank bukan pemastautin berkuat kuasa hari ini.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, kelonggaran juga diberikan kepada pemastautin untuk menukar obligasi hutang ringgit atau mata wang asing sedia ada mereka kepada obligasi hutang mata wang asing lain.

“Semua langkah ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan BNM mempertingkat daya saing ekonomi dan membangunkan pasaran kewangan domestik,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur.

Katanya, langkah itu seiring dengan teras am Rangka Tindakan Sektor Kewangan yang akan menyumbang ke arah peningkatan tahap kecairan, keluasan dan penyertaan pelbagai peserta dalam pasaran kewangan domestik.

Menerusi liberalisasi itu, pemastautin dibenarkan membeli dan menjual mata wang asing dengan mata wang asing lain bagi sebarang tujuan, termasuk perniagaan.

Bagaimanapun, transaksi sedemikian hanya boleh dilaksanakan dengan bank tempatan berlesen meliputi bank komersial berlesen, bank Islam berlesen dan bank pelaburan berlesen di Malaysia.

Sumber: HMetro.com.my
Dikuasakan oleh Blogger.