Header Ads

Budak kembali bernafas selepas mati selama enam minit


KAI Clark (kanan) bernasib baik kerana pasukan paramedik cepat memberikan bantuan kepadanya.

Oleh YALMIZI HAMID

SETAHUN lalu, seorang budak bernama Kai Clark menghembuskan nafasnya yang terakhir di katil sebuah hospital di Essex, England.

Dia disahkan mati ketika berusia dua tahun oleh pakar perubatan selepas jantung dan nafasnya terhenti.

Namun, seketika kemudian keajaiban berlaku apabila anak kecil itu kembali bernafas selepas mati selama enam minit.

Semua itu terjadi kerana usaha keras seorang doktor, Dr. Rich Lyon. Lyon percaya insiden seorang budak berusia dua tahun mati kerana sakit jantung adalah sangat jarang berlaku.

Ibu Kai, Kelly Clark memberitahu, peristiwa tersebut merupakan perkara yang paling menggembirakannya.

"Kai sudah meninggal dunia selama enam minit. Jadi adalah suatu yang sangat ajaib apabila dia hidup semula.

"Sebenarnya dia menderita masalah jantung yang dikenali sebagai kardiomiopati hipertrofi," kata wanita berusia 32 tahun itu. Kardiomiopati hipertrofi ialah penebalan dinding jantung yang menyebabkan gangguan keupayaan pengisian semula dan pengepaman jantung.

Tambah Kelly, dia percaya bahawa usaha pasukan paramedik itu merupakan sesuatu yang terhebat pernah dilaluinya.

"Kami amat menyayangi Kai dan tidak dapat menggambarkan bagaimana perasaan jika dia mati.

"Apa yang doktor dan pasukan itu lakukan adalah sesuatu yang hebat. Jika tiada mereka, anak saya pasti sudah tiada," kata Kelly.

CPR

Dalam ilmu perubatan, kematian dalam tempoh empat hingga enam minit itu disebut sebagai kematian klinikal.


TEKNIK CPR mampu menyelamatkan seseorang daripada kematian klinikal yang biasanya berlaku di antara empat hingga enam minit.
Mereka yang mengalami kematian klinikal biasanya diberi rawatan pemulihan kardiopulmonari (CPR) dengan segera untuk menghidupkan kembali jantung. Kalau CPR itu gagal, mangsa dianggap sudah mati secara kekal.

Menurut pakar yang merawat Kai, masalah budak itu ialah otot jantungnya menjadi lebih tebal berbanding biasa. Ini mengakibatkan Kai mengalami keadaan fibrilasi ventikular ketika berada di rumahnya di Clacton-on-Sea, Essex, England pada pertengahan Oktober tahun lalu.

Keadaan itu menyebabkan jantungnya berdegup dalam keadaan yang tidak normal dan tidak teratur. Perkara itu adalah biasa kepada seorang dewasa, tetapi hampir tidak berlaku kepada kanak-kanak.

Otot pada bahagian bawah jantung mengepam secara rawak yang menyebabkan terdapat sebahagian darah kekal berada di dalam jantung. Dalam keadaan normal kesemua darah itu sepatutnya dipam keluar untuk disalurkan ke seluruh badan.

Dalam kejadian tersebut, sebuah ambulans bergegas ke rumahnya dan Kai yang berada dalam keadaan koma terus diterbangkan ke Hospital Addenbrooke, Cambs, London menggunakan sebuah ambulans udara.

Kai seterusnya dipindahkan ke Hospital Great Ormond Street, London. Dia berada di situ selama lima bulan dan dirawat oleh staf perubatan khas.

Jelas Lyon, dia tidak pernah mendengar kes kanak-kanak mengalami fibrilasi ventikular seperti yang dialami Kai itu.

"Kai sebenarnya merupakan seseorang yang mencetuskan misteri dalam bidang perubatan. Lebih menghairankan apabila Kai semakin baik," tambah Lyon.

Sawan

Dalam pada itu, seorang budak berusia tujuh tahun di New York, Amerika Syarikat (AS), Cameron Knowles telah mengejutkan ibunya apabila wajahnya kebiruan sewaktu dikejutkan untuk ke sekolah pada tahun 2008.


JANTUNG terhenti menyebabkan oksigen tidak sampai ke otak.
Mujurlah ibunya, Rebecca Knowles pantas menghubungi ahli paramedik. Selepas dirawat, jantung budak perempuan itu yang pada mulanya disahkan berhenti kembali berdegup.

Menurut doktor, Cameron sebenarnya telah mati selama 12 minit sebelum dia dikejutkan. Budak itu kemudian disahkan mengalami sindrom Q-T iaitu keadaan degupan jantung yang tidak sekata. Degupannya kadangkala laju dan perlahan.

Masalah itu menyebabkan Cameron mengalami sawan dan pengsan.

Ahli kardiologi pediatrik di Hospital Kanak-Kanak dan Keluarga Amerika di Madison, AS, Dr. Amy Peterson berkata, serangan jantung dalam kalangan kanak-kanak sangat jarang berlaku.

"Tetapi jika anak anda sakit dada, ia mungkin tanda-tanda sakit jantung," kata Peterson.

Tambahnya, biarpun seorang kanak-kanak itu tidak mengalami masalah obesiti, masalah penyumbatan arteri masih boleh berlaku.

Sumber: Kosmo.com.my
Dikuasakan oleh Blogger.