Header Ads

Exco: Pemuda PAS cadang Dr Rani ganti Dr Hasan

Dewan Pemuda berharap Majlis Pakatan Rakyat Selangor memutuskan perkara itu dengan kadar segera.

Dewan Pemuda PAS (DPP) Malaysia mencadangkan jawatan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor yang kini disandang Datuk Dr Hasan Ali diserahkan kepada Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman (gambar).

Naib Ketua DPP Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata pihaknya mengharapkan Majlis Pakatan Rakyat Selangor memutuskan perkara itu dengan kadar segera.

Menganggap keputusan pimpinan PAS memecat keahlian Hasan sebagai amat tepat, beliau berkata pihaknya turut mematuhi keputusan itu dan berharap semua pihak menghormatinya.

Bagaimanapun katanya Hasan masih ada ruang dan mempunyai hak untuk membuat rayuan kepada Majlis Syura PAS.

“Kami yakin kemelut yang telah mengeruhkan keadaan ini di Selangor terutamanya dan di negara ini amnya akan ditutup setelah keputusan tersebut dicapai.

“Bagi kami, apa yang penting ialah PAS dan Pakatan harus maju ke hadapan untuk mengorak langkah menuju ke Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 13 nanti,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

PAS semalam memecat keahlian Hasan berkuatkuasa serta-merta dipercayai ekoran kenyataannya yang bertentangan dengan dasar parti termasuk menghalang penyokong Pakatan daripada menghadiri perhimpunan bagi mendengar keputusan perbicaraan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Keputusan itu dibuat sebulat suara dalam mesyuarat bulanan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di ibu pejabat PAS Jalan Raja Laut di ibu negara kelmarin.

“Setelah mempertimbangkan segala pandangan yang diberikan oleh ahli-ahli jawatankuasa PAS Pusat dalam mesyuarat yang diadakan hari ini (semalam), PAS Pusat membuat keputusan berdasarkan Fasal 82(9) iaitu memecat keahlian Datuk Dr Hasan Ali sebagai ahli PAS berkuatkuasa serta-merta.

“Keputusan ini dibuat berdasarkan kepada tindakan-tindakan beliau yang menyalahi dan merugikan kepentingan parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan PAS,” umum Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sumber: Freemalaysiatoday.com
Dikuasakan oleh Blogger.