Header Ads

Ibrahim Ali tawar elaun ahli parlimen buru dalang letupan 901

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali menawarkan satu bulan elaun sebagai Ahli Parlimen, tambahan kepada ganjaran RM10,000 ditawarkan polis bagi mengesan dalang menyebabkan letupan bom ketika perhimpunan 901, Isnin lalu.

"Bagi membantu usaha polis, saya juga menawarkan sebulan gaji pokok Ahli Parlimen sebagai tambahan kepada tawaran polis sebanyak RM10,000.

"Semoga ia menjadi rangsangan kepada sesiapa yang boleh membantu polis menangkap mana-mana individu atau kumpulan yang amat jahat ini demi keamanan serta keselamatan rakyat," kata beliau dalam satu kenyataan SMS semalam.

Ahli Parlimen Bebas itu mengalu-alukan tawaran polis RM10,000 yang diumumkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar semalam.

Buat masa sekarang, anggota Dewan Rakyat menerima elaun bulanan asas sekitar RM6,500. Selain mereka juga layak menerima elaun-elaunan lain seperti hiburan, pengangkutan dan telefon.

Secara total mereka akan menerima dalam lingkungan RM13,000.

Semalam, Ismail mengumumkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan ganjaran sebanyak RM10,000 kepada pemberi maklumat hingga tertangkapnya individu yang bertanggungjawab dalam tiga letupan yang terjadi di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

"Saya hendak tawarkan RM10,000 kepada sesiapa sahaja yang boleh memberi maklumat hingga kami dapat menangkap mereka yang bertanggungjawab menyebabkan letupan itu.

"Siasatan sedang dijalankan dan mana-mana individu yang didapati terlibat dalam insiden itu akan dikenakan tindakan," katanya.

Sumber: Sinarharian.com.my
Dikuasakan oleh Blogger.