Header Ads

Jawatan MB: Husni Hanadzlah bakal ganti Zambry Kadir?

WarkahDaily – Kedudukan Datuk Seri Dr Zambry Kadir dilaporkan terumbang-ambing takkala ada desas-desus menyatakan bahawa Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah bakal menggantikan Zambry sebagai Menteri Besar Perak jika Umno-BN dapat menguasai negeri itu dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Spekulasi konon Zambry bakal digugurkan dari senarai calon Umno-BN yang akan bertanding dalam PRU nanti walaupun beliau kelihatan masih lagi teragak-agak dengan masa depan politiknya itu selepas PRU ke-13.

Dipetik dari Malaysiakini.com, dalam wawancara khas dengan The Star, Zambry pada 31 Disember lalu dilaporkan berkata, beliau menyerahkan soal kedudukannya sama ada akan diletakkan bertanding di parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada kepimpinan parti.

Mungkin Zambry sedar kedudukannya bakal digantikan dengan orang lain, dengan ‘nada berlapik’, Zambry menyatakan jawatan MB bukan menjadi cita-citanya.

“Menjadi menteri besar bukan tujuan muktamad saya. Harapan saya adalah bersama Barisan untuk berkhidmat kepada rakyat,” kata Zambry mengulas cakap-cakap beliau mungkin ditukar bertanding di kawasan parlimen dalam pilihan raya depan.

Dalam perkembangan berasingan, Pemuda PAS Perak turut memberi komen masa depan karier politik bakal berakhir sambil mengandaikan, Zambry memperlihatkan kegagalannya menjalankan tugas sebagai MB.

Setiausaha Dewan Pemuda PAS Perak, Salman Saleh berkata, kenyataan Zambry yang menyerahkan kepada kepimpinan BN untuk memutuskannya bertanding di kerusi parlimen dan DUN menimbulkan persoalan berhubung masa depan karier politiknya.

“Adakah mungkin Datuk Seri Zambry telah gagal melaksanakan tugasnya sebagai menteri besar di Perak?

“Atau adakah Datuk Seri Zambry akan mengakhiri karier politiknya?,” soal Salman Saleh.

Salman dalam kenyataannya bagaimanapun berkata, mereka tetap berpendapat Zambry gagal menandingi kerja menteri besar sebelumnya Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaludin.

“Walaupun rakyat Perak sedar Datuk Seri Zambry sering meniru kerja-kerja Datuk Seri Nizar sejak mula menduduki kerusi menteri besar Perak sehinggalah sekarang, namun masih tidak berjaya.

“Dan bagi kami lagi, marilah kita sama-sama melihat siri-siri drama yang akan berlaku dalam Umno negeri Perak dalam menentukan orang nombor satu mereka,” kata Salman lagi.
Dikuasakan oleh Blogger.