Header Ads

Keraguan sampel DNA diusik, mahkamah bebas Anwar


Anwar tiba di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendengar keputusan kes tuduhan Liwat II hari ini. | foto The Malaysian Insider

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dilepaskan dan dibebaskan daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya tiga tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah membuat keputusan itu atas alasan tiada keterangan yang menyokong keterangan mangsa.

Anwar berdepan pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan tiga tahun lalu.

“Mahkamah tidak boleh memastikan sama ada sampel DNA telah diusik.

“Oleh itu tertuduh dibebaskan,” kata Mohd Zabidin semasa membacakan keputusan kes itu.

Keputusan itu diraikan keluarga Anwar dan penyokong pemimpin itu.

Ini pertuduhan liwat kedua yang dihadapi Anwar. Pada 2000, beliau didakwa meliwat pemandu Azizan Abu Bakar.

Anwar disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Makkamah Tinggi, tetapi empat tahun kemudian Mahkamah Persekutuan menolak sabitan itu dan mengetepikan hukuman penjara.

Kawasan parkir kereta Kompleks Mahkamah Tinggi Jalan Duta dibanjiri penyokong Anwar dan Pakatan Rakyat sejak awal pagi tadi untuk memberikan sokongan terhadap Ketua Umum PKR itu.

Dianggarkan seramai 5000 orang melaungkan slogan “Reformasi”, “Hidup Anwar”, “Keadilan”, dan “Allahuakbar”.

Turut hadir memberikan sokongan adalah pemimpin utama Pakatan Rakyat.

Sumber: Themalaysianinsider.com
Dikuasakan oleh Blogger.