Header Ads

Lagi penyelewengan dana NFC: Keluarga Shahrizat belanja RM593,500 guna kad kredit

Belum pun reda isu skandal projek ternakan lembu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC), keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil sekali lagi didakwa menyalahgunakan dana NFC.

Kali ini, Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli mendakwa keluarga Shahrizat membelanjakan RM593,500 menerusi kad kredit yang dibiayai sepenuhnya melalui dana NFC pada 2009.

Menurut Rafizi, empat ahli keluarga Shahrizat yang memenang jawatan dalam pengurusan NFc membelanjakan sekitar RM122,402 hingga RM182,525 dalam tempoh setahun.

Individu terbabit adalah suami Shahrizat, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan tiga lagi anak mereka, Wan Shahinur Izran, Wan Izzana Fatimah dan Wan Shahinur Izmir.

Jelas beliau, pendedahan sebegini akan diteruskan sehingga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil tindakan sewajarnya terhadap penyelewangan yang berlaku dalam NFC.

"Sehubungan itu, satu laporan polis mengenai perbelanjaan kad kredit oleh keluarga Shahrizat akan dibuat di Balai Polis Dang Wangi pada pukul 2 petang, esok," katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.

Rafizi berkata, laporan polis itu akan dibuat oleh aktivis PKR, Fariz Musa.

Bagaimanapun, Rafizi tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai perbelanjaan tersebut.
Dikuasakan oleh Blogger.