Header Ads

Laporan Dr Haron Din, Ustaz Taib, Ustaz Ismail bersama Hasan Ali adalah palsu

PAS semalam mengesahkan bahawa laporan berita mengenai kehadiran beberapa pemimpin PAS yang dilaporkan berada di rumah bekas ahli PAS, Datuk Dr Hasan Ali, Ahad malam yang lalu adalah palsu.

Selepas Hasan dipecat pada siang hari, media melaporkan bahawa ramai pemimpin PAS yang hadir memberikan sokongan moral kepada bekas Pesuruhjaya PAS Selangor tersebut.

Antara nama yang disebut hadir ialah Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din, ustaz Taib Azamuddin Mohd Taib dan Datuk Ustaz Ismail Kamus.

“Laporan tersebut adalah tidak betul dan mempunyai niat tidak senonoh, kerana hakikatnya kesemua mereka tidak bersama pada malam tersebut.

"Ketika penjelasan itu diberikan, PAS mengesahkan bahawa Datuk Dr Haron Din sedang bermesyuarat Majlis Syura Ulamak di pejabat agung PAS, Ustaz Taib Azamuddin pula berada di China dan Ustaz Ismail Kamus sedang menerima rawatan,” terang Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataan semalam.

Tuan Ibrahim turut menjelaskan bahawa mantan timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa yang turut hadir bersama presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali untuk memberikan sokongan moral kepada Hasan ada memaklumkan kepada Majlis Syura akan kehadirannya terlebih dahulu.

“Jelas perkara di atas adalah usaha pihak tertentu bermotif untuk memberi imej buruk kepada para pimpinan parti dan mengelirukan ahli-ahli PAS sehingga bersangka buruk terhadap pimpinan parti demi mengganggu persiapan terakhir pilihanraya.

Lantaran itu, semua ahli dan pimpinan parti mesti merujuk kepada media rasmi parti iaitu Harakahdaily dan Harakah cetak untuk mendapatkan sumber sahih dan rasmi parti,” tegas Tuan Ibrahim.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu juga menasihatkan semua ahli dan pimpinan parti untuk menguatkan kesedaran politik agar tidak mudah dipengaruhi permainan jahat pihak lawan.

“Dalam suasana ini, semua ahli PAS diseru untuk memperkukuhkan perpaduan dan ukuhwah dalaman parti agar kita dapat menjauhi kerja yang tidak menguntungkan jamaah dan menumpukan seluruh masa, tenaga dan dana bagi menghadapi persiapan pilihanraya umum yang semakin hampir,” seru beliau.

Sumber: Harakahdaily.net
Dikuasakan oleh Blogger.