Header Ads

Mangsa pertama selesema burung 2012

JAKARTA: Kementerian Kesihatan Indonesia mengesahkan kematian seorang lelaki berusia 23 tahun dari Sunter, Jakarta Utara pada Sabtu lepas akibat selesema burung.

Ia merupakan kes kematian pertama di Indonesia akibat selesema burung pada tahun ini.

Lelaki itu seorang pekerja kimpalan meninggal dunia akibat selesema burung yang dihidapinya sejak 13 Disember tahun lepas.

"Dengan bertambahnya satu kes ini, jumlah kumulatif selesema burung di Indonesia sejak tahun 2005 sampai berita ini disiarkan adalah 183 kes, dengan 151 kematian," kata Ketua Pengarah Bahagian Pengendalian Penyakit dan Kesihatan Persekitaran, Tjandra Yoga Aditama, yang dilaporkan agensi berita Antara.

Pada tahun lalu, sebanyak 11 kes kematian dicatatkan akibat selesema burung.

Sebelum itu, lelaki berkenaan mengalami gejala demam, batuk dan selesema serta pernah mengambil ubat penurun suhu demam namun apabila penyakitnya tidak sembuh, beliau mendapatkan rawatan lanjutan sebagai pesakit luar di sebuah hospital swasta di kawasan Jakarta Utara pada 3 Januari lepas.

Penyakitnya bagaimanapun bertambah teruk pada Jumaat lepas sehingga mengalami sesak nafas dan tidak sedarkan diri dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital.

Lelaki itu kemudian dirujuk ke Hospital Umum Tangerang, yang dijadikan sebagai Hospital Rujukan Selesema Burung pada Sabtu lepas dan meninggal dunia pada hari sama.

Tjandra Yoga berkata penyelidikan epidemiologi ke rumah pesakit itu serta kawasan persekitarannya kemudian dilakukan oleh sebuah pasukan bersepadu Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan tempatan.

Pasukan itu merumuskan kemungkinan faktor risiko sebagai penyebab akibat sentuhan secara langsung dengan burung merpati peliharaannya yang telah mati.

Sumber: Sinarharian.com.my
Dikuasakan oleh Blogger.