Header Ads

MP Muar belasah Perlis, Sime Darby, Pahang, ATM dan USM menang


Penyerang ATM, Marlon Alex James diasak pemain NS Betaria FC, Mohd Saufi dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, Selangor pada 9 Januari 2012. | foto Arena.my

Lima pasukan iaitu MP Muar, Sime Darby, Pahang, ATM dan USM masing-masing memenangi perlawanan pertama mereka dalam kejohanan Liga Perdana hari ini.

Pasukan kelab MP Muar berpesta gol apabila membelasah Perlis 7-2 di Stadium Sultan Ibrahim, Muar.

Gol pertama tuan rumah dijaringkan oleh Khairul Anwar Shahrudin pada minit ke-9 diikuti dengan empat jaringan lagi oleh Mohd Alafi Mahmud (minit ke-24, 52, 56, dan 79).

Mohd Azuwad Mohd Arip menjaringkan gol keenam MP Muar pada minit ke-80 dan Khairul Anwar menjaringkan gol ketujuh, tujuh minit kemudian.

Dua gol Perlis disumbangkan oleh Mohd Rizal pada minit ke-58 dan ke-69.

Sebuah lagi pasukan bertaraf kelab, Sime Darby FC turut melakar kemenangan dengan mengalahkan Harimau Muda B, 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Gol Sime Darby dijaringkan oleh Rosli Muda pada minit ke-27 dan Zamri Hassan (minit ke-65), manakala gol sagu hati Harimau Muda B disumbangkan oleh Mohamad Ridzuan Abdunloh pada minit ke-91.

Pasukan ATM pula mengalahkan pasukan kelab baru dari Negeri Sembilan, Betaria 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Dua gol ATM dijaringkan oleh pemain import Marlon Alex James pada minit ke-2 dan minit ke-22.

Di Stadium Olahraga Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, pasukan tuan rumah USM FC mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Pos Malaysia.

Pahang pula menang 1-0 kepada satu lagi pasukan baru iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBPJ) di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.

Sementara Johor terikat 1-1 ke atas PDRM di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Sumber: Bernama.com
Dikuasakan oleh Blogger.