Header Ads

Muflis 2019: Henti beri mandat kepada Umno-BN

Pengesahan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) bahawa Malaysia akan bankrap menjelang 2019 menujukkan rakyat perlu menukar kerajaan supaya Pakatan Rakyat dapat menyelamatkan negara, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng (gambar).

Menurutnya, Malaysia akan menjadi negara penghutang sebelum akhir dekad ini jika Kerajaan BN meneruskan cara-cara perbelanjaan dan peminjaman yang tidak bertanggungjawab.

Nisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada KDNK telah meningkat setiap tahun dari 53.1% pada tahun 2010, 53.8% pada tahun 2011 hingga 54.8% pada tahun 2012. Kadar hutang ini amat membimbangkan kerana sudah hampir mencecah siling hutang negara iaitu 55%.

Mengikut felo Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Mohd Ariff Abdul Kareem, sekiranya Kerajaan Persekutuan terus meminjam seperti sekarang, nisbah hutang kepada KNDK negara akan mencapai 100% ataupun menyamai KDNK menjelang tahun 2019.

Secara mutlak, hutang Kerajaan Persekutuan telah meningkat sebanyak 71% dalam tempoh 4 tahun kepada RM456 bilion pada akhir 2011 daripada RM266 bilion pada akhir 2007.

Jika kadar peningkatan yang sama diteruskan, hutang negara akan meningkat kepada RM780 bilion pada tahun 2016 dan RM1,300 bilion pada tahun 2020.

Yang lebih menrunsingkan kata Lim, kadar pinjaman negara adalah jauh lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan ekonomi.

"Ini amat berbahaya, dan lebih teruk lagi jika ditambah dengan data Laporan Tahunan Bank Negara 2010 yang mendedahkan bahawa hutang isi rumah Malaysia pada akhir 2010 berada di tahap RM581 bilion atau pun 76 peratus daripada KDNK, lantas “menobatkan” Malaysia sebagai negara dengan hutang isi rumah yang tertinggi di Asia selepas Korea Selatan.

"Tambahan pula, nisbah bayaran hutang isi rumah Malaysia berada di tahap 47.8 peratus pada tahun 2010, atau dalam erti kata lain, setengah daripada pendapatan isi rumah digunakan untuk pembayaran hutang," kata Lim.

Beliau yang juga Setiausaha DAP berkata, Rakyat Malaysia bukan sahaja dibebani hutang piutang, tetapi kos barang-barang harian juga sedang melambung sementara pendapatan dan gaji tidak meningkat. Susu bayi pun telah naik harga sebanyak 50% baru-baru ini. Antara kos barangan harian yang meningkat adalah:

1. Gula: RM1.45/kg (Jan 2010) kepada RM2.30 (Mei 2011) – 58% dalam 18 bulan.

2. Telur: Gred B RM9/30biji (Sep 2010) kepada RM10/30biji (sekarang).

3. Tarif Elektrik: kenaikan purata 7.12% pada bulan Jun 2011.

4. Teh Tarik dan Kopi Susu: Kenaikan RM0.10 hingga RM0.20 (9.1% hingga 18.2%).

5. Roti Gardenia: Kenaikan 5-14% (2011).

6. Cukai Perkhidmatan: Kenaikan 1% (cukai tambahan RM720 juta untuk Kerajaan Persekutuan).

7. Bawang: Kenaikan 17% (Dis 2010).

8. Milo: Kenaikan 5% pada suku pertama 2011, 4% pada setengah tahun kedua 2011.

9. Nescafe: Kenaikan 6% pada setengah tahun kedua 2011, di mana harga sudah >RM20/300gm.

10. Semua makanan kegemaran ramai seperti roti canai, char koay teow dan nasi kandar makin kecil bahagiannya walaupun harga tetap sama.

Sebaliknya ujar Lim, negeri-negeri Pakatan Rakyat telah berjaya mengurus kewangan supaya rakyat tidak dibebani hutang.

Di Pulau Pinang, hutang kerajaan negeri telah dikurangkan daripada RM630 juta pada 8 Mac 2008 kepada RM30 juta pada akhir Oktober 201.

"Ini merupakan pengurangan sebanyak 95% ataupun RM600 juta, iaitu pengurangan yang paling besar dalam sejarah mana-mana negeri di Malaysia.

"Adalah jelas bahawa rakyat Malaysia yang menginginkan kehidupan yang lebih baik hari ini dan untuk generasi masa depan hendaklah membuat pilihan di antara sebuah kerajaan yang boros dan meminjam secara tidak bertanggungjawab di samping gagal menjana perkembangan ekonomi, dengan sebuah kerajaan yang berhemat dan telus serta mengutamakan kepentingan rakyat," katanya.

Sumber: Harakahdaily.net
Dikuasakan oleh Blogger.