Header Ads

Newcastle kalahkan Manchester United 3-0


Penyerang Newcastle, Demba Ba (dua kanan) melepaskan sepakan cantik melepasi halangan pemain pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand sebelum menewaskan penjaga gol Anders Lindegaard. Newcastle kalahkan Man United 3-0. | foto AFP

NEWCASTLE: Manchester United tercicir mata selepas tewas mengejut 3-0 kepada Newcastle United dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi di St James' Park.

Kekalahan tersebut menyebabkan anak buah Sir Alex Ferguson gagal menyamakan pungutan mata dengan pendahulu Manchester City dan menyaksikan mereka tewas dua perlawanan berturut-turut dalam tempoh 10 bulan.

Manakala bagi Newcastle pula, kemenangan tersebut menyaksikan mereka berjaya merapatkan jurang dengan Liverpool yang berada ditangga keenam.

Penyerang sensasi Newcastle, Demba Ba memecah kebuntuan pada minit 33 selepas rembatan cantiknya terus menerjah jaring hasil daripada gerakan yang bermula dengan hantaran oleh rakan sepasukan Shola Ameobi.

Gol Ba tersebut memberi kelebihan 1-0 kepada Newcastle hingga berakhir separuh masa pertama.

Bersambung separuh masa kedua, Newcastle menggandakan asakan dengan Ba terus menjadi ancaman utama kepada pertahanan United.

Pintu gol Anders Lindegaard bocor lagi buat kali kedua selepas pemain berasal dari Perancis, Yohan Cabaye menjaringkan gol kedua tidak sampai dua minit akhir separuh masa kedua menerusi sepakan percuma 25 ela menarik yang terus menerjah jaring United.

Nasib malang United tidak berhenti apabila kem Newcastle sekali lagi tersenyum kegembiraan selepas memperoleh gol ketiga pada minit akhir permainan apabila Phil Jones menyumbat gol sendiri ke gawang hasil salah faham dengan penjaga gol United, Lindegaard.

Kehadiran Rooney selepas dikenakan denda dalam sepanjang perlawanan tidak memberikan sebarang impak kepada skuad Ferguson malahan penyerang England tersebut sukar bergerak selepas sering dirantai pemain pertahanan Newcastle.

Perlawanan tamat dengan Newcastle menewaskan Man Utd 3-0.

Sumber: AFP
Dikuasakan oleh Blogger.